Kumpulan pertama 120 pelajar M'sia di Pekanbaru tiba di ibu negara malam tadi

Azyyati Ahmad
September 18, 2015 16:42 MYT
Kumpulan pertama seramai 12O orang selamat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Malaysia (TUDM), Subang sekitar jam 8:45 malam pada Jumaat. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Sejumlah120 orang pelajar Malaysia di Pekanbaru, Riau termasuk empat orang kanak-kanak telah tiba di ibu negara susulan pengisytiharaan darurat akibat jerebu tahap kritikal di negeri itu yang mencecah bacaan indeks pencemaran udara (IPU) hampir 1000.
Pelajar-pelajar tersebut tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Malaysia (TUDM) di Kampung Melayu Subang di sini sekitar jam 8.45 malam, Jumaat.
Mereka yang terdiri daripada 77 lelaki, 39 wanita dan empat kanak-kanak itu berlepas menaiki Pesawat Charlie C130 TUDM dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Syarif Kasim 2, Pekanbaru, Riau sekitar jam 7.45 malam.
Menurut Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican, proses evakuasi itu pada awalnya mengalami kesulitan kerana pelajar perlu mendapatkan kad izin tinggal sementara (KITAS) dari universiti masing-masing.
Namun, perkara itu dapat diselesaikan dengan kerjasama yang baik di antara pihak berkuasa Pekanbaru dan Kedutaan Indonesia di Jakarta.
Kumpulan kedua yang membawa 101 orang pelajar lagi tiba di Pangkalan Udara TUDM sekitar jam 12 tengah malam tadi.
Antara ibu bapa yang berada di Pangkalan Udara Tentera Udara Malaysia (TUDM) untuk menyambut kedatangan pelajar-pelajar Malaysia. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Bagaimanapun, Reezal Merican turut memaklumkan seramai sembilan pelajar Malaysia membuat keputusan untuk tidak pulang ke tanahair atas sebab-sebab tersendiri.
Proses evakuasi itu diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertahanan, TUDM, Kedutaan Indonesia di Jakarta dan Konsulat Pekanbaru.
Presiden Indonesia, Joko Widodo mengisytiharkan darurat pada Rabu selepas bacaan IPU di Sumatera mencecah tahap amat berbahaya.
#jerebu #Pelajar Riau #Tentera Udara Malaysia #TUDM