Kumpulan panjat mercu tanda IPOH mohon maaf

Bernama
Januari 4, 2017 22:17 MYT
Selain Norfarihan, empat lagi rakannya iaitu Muhammad Zaki Nasarruddin, 23; Muhammad Faiz Roslee, 23; Nor Farina Baharudin, 22; dan Azlina Azmi, 21, turut memohon maaf. - Foto Instagram: Farihan Baharudin
Kumpulan yang memanjat struktur huruf membentuk perkataan "IPOH" di Jalan Kuala Kangsar baru-baru ini memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak pada hari ini.
Norfarihan Baharudin, 24, yang mewakili lapan individu dalam kumpulan itu berkata mereka menyesali perbuatan berbahaya itu yang mereka lakukan tanpa memikirkan kesannya.
"Memang kami tahu tindakan kami ini salah tetapi ini bukan kali pertama kami panjat struktur dan kami semua ada latar belakang memanjat gunung dan bukit.
"Macam saya sendiri gemar aktiviti lasak, siapa yang tak tahu akan kecam tapi sebelum ini saya pernah buat (perkara sama) di Indonesia dan Thailand," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya di sini.
Selain Norfarihan, empat lagi rakannya iaitu Muhammad Zaki Nasarruddin, 23; Muhammad Faiz Roslee, 23; Nor Farina Baharudin, 22; dan Azlina Azmi, 21, turut hadir.
Dalam pada itu, Norfarihan berkata mereka bukan mencari populariti tetapi hanya ingin berkongsi minat.
"Bukan kami yang sebar luaskan gambar-gambar itu, saya dihubungi seseorang daripada 'The Vocket" (sebuah blog berita) meminta untuk ditemu ramah. Saya sangkakan hanya perkara kecil, namun tidak menyangka akan menjadi 'viral' satu Malaysia," katanya.
Beliau juga tidak menolak perkara itu mendapat perhatian umum kerana pelakunya termasuk wanita.
Sementara itu, Shahrul Zaman berkata walaupun kegiatan kumpulan itu unik, perbuatan mereka tetap menyalahi undang-undang dan kerajaan negeri tidak akan mencampuri siasatan polis.
Beliau turut menasihati semua individu terbabit supaya menggunakan keberanian serta kepakaran mereka dengan cara yang betul.
"Saya cadangkan mereka tubuhkan kelab seperti Silver Youth Climbers untuk menarik minat lebih ramai anak muda menceburi sukan memanjat ini.
"Semua ini boleh dilaksanakan secara positif dan mengikut peruntukan undang-undang dan yang paling penting dapat menjaga keselamatan mereka dan orang lain," katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menasihati individu yang meminati sukan lasak supaya melakukan kegiatan itu di tempat yang bersesuaian.
"Kata orang-orang tua berani itu baik, tapi kalau tak letak pada tempatnya ia tidak akan memberikan kebaikan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri Perak di sini hari ini.
Gambar-gambar kumpulan itu memanjat mercu tanda Ipoh tersebut tersebar minggu lalu yang antara lain memaparkan perbuatan mereka berbaring dalam buaian di kerangka yang menampung huruf-huruf besar itu pada ketinggian melebihi 20 meter. --Bernama
#aksi lagak geri #kren #Majlis Bandaraya Ipoh #panjat kren #papan tanda Ipoh #polis
;