Kumpulan dibenar rentas sempadan Malaysia-Singapura akan diumum dalam masa terdekat

Fareez Azman
Jun 28, 2020 19:39 MYT
HISHAMMUDDIN: Sehingga kini empat golongan telah dikenal pasti termasuk rakyat Malaysia yang menjalankan perniagaan di Singapura. - Astro AWANI
Malaysia dijangka mengumumkan pembukaan pintu sempadan ke Singapura dalam masa terdekat.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri HishamMuddin Tun Hussein, ia bagaimanapun melibatkan beberapa kumpulan yang dikenal pasti sebelum ini.
Kata beliau, perbincangan antara Malaysia dan Singapura masih dijalankan ketika ini bagi mendapat persetujuan bersama dalam konsep laluan perjalanan hijau (green bubble).
"Sekarang banyak kita panjangkan kepada pihak Singapura... bergantung kepada sektor mana, kumpulan yang mana. Kumpulan pertama dan kedua mungkin kita boleh umum dalam masa terdekat tetapi saya akan hubungi Menteri Luar Singapura esok atau lusa.
"Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berbincang dengan Perdana Menteri Singapura. Ini bukan polemik, ia bersandarkan hujah rasional supaya rakyat kedua dua negara memahami apa kita lakukan secara bertanggungjawab dan tidak akan menjejaskan keselamatan dan kedudukan rakyat," katanya.
Jelasnya Hishammuddin, sehingga kini empat golongan telah dikenal pasti termasuk rakyat Malaysia yang menjalankan perniagaan di negara itu.
Jika keputusan itu dapat dijalankan, Malaysia ujarnya akan menjadi antara negara pertama membuka sempadan ketika pandemik COVID-19.
"Tumpuan kita di Singapura ada empat golongan.. jadi antara tumpuannya ialah pihak perniagaan iaitu lebih kurang 500 orang dan kumpulan berada di Singapura tidak balik berada di negara itu jumlahnya lebih kurang 20,000 lebih.
"Untuk Singapura, kita kena buat apa jua keputusan pertimbangan kesihatan dan ekonomi tapi ia memerlukan persetujuan kedua-dua negara. Kalau kita tengok Australia dan New Zealand ini, cerita green bubble ini dah lama tapi hari Ini belum diumumkan lagi apa itu green bubble," jelas Hishammuddin.
Ketika ini pihaknya sedang menunggu persetujuan peringkat tertinggi sebelum kaedah diumumkan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kampung Gumum, Chini pada Ahad.
Sebelum ini, Hishammuddin memberi jaminan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura akan mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan kedua-dua buah negara.
#buka sempadan #COVID-19 #Hishammuddin Hussein #laluan perjalanan #Malaysia #Pekerja #Singapura
;