Kumpulan Bina Darulaman Berhad sumbang RM81,000 kepada Hospital Sultanah Bahiyah
Kenyataan Media
Jun 2, 2021 14:49 MYT
Jun 2, 2021 14:49 MYT
ALOR SETAR: Terkesan dengan tugasan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani wabak COVID-19 di negeri Kedah, Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah menyalurkan sumbangan peralatan perubatan bernilai RM81,000 kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Komunikasi Korporat Kumpulan BDB dalam satu kenyataan berkata, sumbangan tersebut melibatkan 10 buah Infusion Pump dan juga 10 buah Syringe Pump yang mana merupakan peralatan yang amat diperlukan di Unit Rawatan Rapi HSB pada ketika ini.
“Kumpulan BDB memandang serius situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri Kedah dan pihak syarikat terpanggil untuk turut serta membantu meringankan beban petugas barisan hadapan yang sedang merawat dan menyelamatkan nyawa rakyat di negeri ini.
“Ini merupakan antara inisiatif Kumpulan BDB bagi membantu para petugas barisan hadapan. Adalah diharap agar dengan sumbangan peralatan perubatan ini, maka ia sedikit-sebanyak dapat membantu dan meringankan beban pihak hospital,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Sumbangan peralatan perubatan berkenaan telah diserahkan kepada Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr. Zaiton Udin.
Untuk rekod, pada 2020 Kumpulan BDB turut menyumbangkan lebih RM180,000 dalam membantu petugas barisan hadapan dan juga kerajaan negeri dalam menangani wabak COVID-19 di Kedah.
Sumbangan tersebut termasuklah menyediakan juadah makanan dan juga pelitup muka kepada para petugas barisan hadapan di sekitar Daerah Kota Setar dan Kubang Pasu dan juga sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan melalui Kerajaan Negeri Kedah.
Tambah lagi, sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah, Kumpulan BDB akan terus bersama-sama dalam membantu para petugas barisan hadapan dan juga kerajaan dalam menghadapi wabak pandemik COVID-19 yang masih menghantui negara.
“Para petugas barisan hadapan ketika ini sedang berusaha sedaya-upaya merawat dan menangani wabak COVID-19 dengan sebaik mungkin dan mereka memerlukan sokongan seluruh rakyat untuk bersama-sama mengawal penularan wabak berkenaan.
“Untuk itu Kumpulan BDB menyeru seluruh rakyat negeri Kedah khasnya dan Malaysia amnya untuk bersama-sama mematuhi Prosedur Operasi Standardy ang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dalam usaha melandaikan lengkung kes jangkitan COVID-19 di negara ini,” jelas Komunikasi Korporat Kumpulan BDB.
#COVID-19
#Kumpulan Bina Darulaman Berhad
#bdb
#Majlis Keselamatan Negara
#petugas barisan hadapan
#jangkitan
#Malaysia
#unit rawatan rapi
#CSR
#pandemik