Kumpulan bersenjata culik pemilik kapal pukat tunda, rompak dua kapal nelayan di Sabah
Bernama
September 28, 2016 14:00 MYT
September 28, 2016 14:00 MYT
Sekumpulan lelaki bersenjata menculik seorang pemilik kapal pukat tunda warga tempatan dan merompak anak-anak kapalnya berhampiran perairan Pulau Gaya, Semporna sebelum melakukan satu lagi rompakan di sebuah kapal nelayan di perairan Tungku, Lahad Datu malam tadi.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata jarak kedua-dua lokasi kejadian adalah 5 batu nautika dan hanya mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan menggunakan bot laju.
Beliau berkata dalam kejadian pertama kira-kira 9.30 malam, Ruslan Sarapin, 39, diculik enam lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama-sama 26 lagi anak kapalnya di perairan berkenaan.
"Ketika kejadian, kapal nelayan mangsa didatangi sebuah bot laju dinaiki enam lelaki yang antaranya bersenjatakan pistol M14 dan M16.
"Empat suspek kemudian menaiki dan menggeledah kapal berkenaan sebelum menculik mangsa serta melarikan semua dokumen, barangan peribadi, telefon bimbit milik anak-anak kapal berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati 25 anak kapal berkenaan bukan warganegara Malaysia dan seorang lagi adalah rakyat tempatan.
Kumpulan lelaki bersenjata api yang sama kemudian merompak sebuah lagi kapal nelayan yang dinaiki 19 anak kapal di perairan Tungku, Lahad Datu.
Beliau berkata dalam kejadian 10.05 malam itu, kapal berkenaan yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan tersebut telah didatangi sebuah bot laju yang dinaiki tujuh lelaki.
"Dalam kejadian itu, tiga lelaki bersenjata api menaiki dan menggeledah kapal berkenaan sebelum melarikan enjin sangkut, beras, minyak masak, pakaian, telefon bimbit dan wang tunai RM300 milik anak kapal.
"Suspek kemudiannya dipercayai melarikan diri menuju ke perairan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata ketika kejadian, kedua-dua kapal berkenaan beroperasi dalam kawasan arahan perintah berkurung dan tidak mempunyai permit pengecualian perintah berkurung daripada Ketua Polis Daerah di kawasan masing-masing.
"Kapal berkenaan juga tidak dilengkapi sistem pengesanan Automatic Identification System (AIS) dan sebarang alat komunikasi yang disarankan oleh pihak berkuasa," katanya. -- BERNAMA