Kumpulan adakan 'Flash Mob' bantah GST di plaza tol

Mariah Ahmad
Februari 18, 2015 12:56 MYT
Perhimpunan 'flash mob' ini diadakan sebagai tanda bantah kepada perlaksanaan GST yang akan berkuatkuasa pada 1 April nanti. - Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Sebuah gabungan yang dinamakan Gabungan Bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan hari ini mengadakan 'Flash Mob Bantah Cukai GST' dan 'Kempen Kesedaran Mengenai Kesan Negatif GST Kepada Rakyat' di beberapa plaza tol seluruh negara pada petang Rabu.
Perhimpunan yang berlangsung secara aman itu diadakan sebagai membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa pada 1 April nanti.
Antara plaza tol yang terlibat adalah Plaza Tol Kota Damansara, Selangor , Plaza Tol Jalan Duta Kuala Lumpur, Plaza Tol Kuala Kangsar, Perak dan juga di Plaza Tol Skudai, Johor.
Bendahari Parti Sosialis Malaysia A. Sivarajan berkata pihak kerajaan seharusnya mendengar rungutan rakyat dan meminta untuk menangguhkan pelaksanaan GST.
"Kita tidak minta buang terus sebab perkara ini (GST) sudah dibincang di Parlimen, tetapi kita minta ditangguhkan buat masa sekarang. Sebab sekarang ini dengan masalah harga barang naik, masalah ekonomi, dengan nilai ringgit pun menurun, kita minta jangan laksanakan pada 1 April ini, ditangguhkan," kata beliau ketika ditemui di sini.
Dia berkata tujuan kempen ini diadakan di plaza-plaza tol terbabit adalah hanya untuk memberi peringatan kepada orang ramai.
Dianggarkan tujuh peserta gabungan itu mula berkumpul di Plaza Tol Kota Damansara pada jam kira-kira 5.30 petang tadi.
Seorang pegawai polis turut dilihat tiba seketika kemudian dan memberi amaran kepada mereka untuk beredar.
Pihak polis tiba di PlazaTol Kota Damansara, Selangor untuk memberi peringatan kepada peserta 'flash mob' Bantah GST untuk beredar - Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Beberapa peserta kempen 'Bantah Cukai GST' di Plaza Tol Skudai, Johor - Gambar Gabungan Bantah Cukai GST
Beberapa peserta kempen 'Bantah Cukai GST' di Plaza Tol Bangi, Selangor - Gambar Gabungan Bantah Cukai GST
Beberapa peserta kempen 'Bantah Cukai GST' di Plaza Tol Kuala Kangsar, Perak - Gambar Gabungan Bantah Cukai GST
Pada 25 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2015 mengumumkan pelaksanaan GST pada kadar enam peratus menggantikan cukai perkhidmatan dan jualan.
Pemilik syarikat mahupun orang ramai yang masih keliru dengan pelaksanaan GST boleh mendapatkan maklumat melalui laman sesawang rasmi GST iaitu www.gst.customs.gov.my atau menghubungi talian bebas tol 1-300-888-500.
#GST