Kumar Aamaan setuju akhiri mogok lapar
Haider Yutim
Januari 23, 2015 20:42 MYT
Januari 23, 2015 20:42 MYT
Setiausaha Agung MIC, Datuk G Kumar Aamaan yang mengadakan mogok lapar sejak Khamis, bersetuju menghentikan tindakan tersebut setelah diminta berbuat demikian oleh Presiden parti, Datuk Seri G. Palanivel.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Palanivel memberitahu, beliau telah meminta Kumar Aamaan menghentikannya demi imej MIC dan Barisan Nasional (BN).
"Meskipun ianya keputusan peribadi beliau, saya telah pun memintanya untuk mengakhiri mogok lapar tersebut demi imej MIC dan Barisan Nasional," katanya.
Menurut Palanivel, beliau sedang menangani isu berkenaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan juga kesahihan Kumar sebagai Setiausaha Agung parti.
"Saya telah pun berbincang dengan beliau, dan saya berasa lega Datuk Kumar Aamaan bersetuju dengan permintaan saya untuk mengakhiri mohok lapar itu," katanya lagi.
Mogok lapar tersebut bermula pada Khamis dengan tuntutan agar Ketua Pengarah dan juga pegawai penyiasat pemilihan MIC ditukarkan berikutan kemelut yang melanda parti politik berasaskan kaum India yang terbesar dan paling tua di Malaysia itu.
Kumar Aamaan melakukan tindakan mogok lapar setelah tidak dapat bertemu dengan wakil daripada ROS.
Sehingga pagi hari ini (Jumaat), beliau masih meneruskan tindakannya itu.
Antara tujuan beliau ke ROS adalah untuk memberi penjelasan dan juga surat pelantikan Setiausaha Agung MIC oleh Palanivel.
Kumar Aamaan yang bertemu dengan pemberita di luar ibu pejabat ROS bagaimanapun enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung ROS.