Kulit kayu Talun dimanfaat untuk hasilkan kraf tangan
Syafik Shukri Jalil
Ogos 28, 2019 19:47 MYT
Ogos 28, 2019 19:47 MYT
WARGA Lawas di Sarawak bukan sahaja berkebolehan memanfaatkan hasil laut untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan utama, malah mempunyai kreativiti lain dengan memanfaatkan kulit kayu.
Bagi seorang warga tempatan di Kampung Tok Dayang, Lipang Abi, 62 tahun, yang juga merupakan seorang ibu tunggal, kebolehan dan keberanian meneroka hutan secara bersendirian dimanfaat sebaik-baiknya.
Semuanya dilakukan bagi mendapatkan kulit kayu Tembaran, atau lebih dikenali sebagai kulit kayu Talun oleh etnik Lun Bawang, untuk menghasilkan kraf tangan seperti beg tangan, topi, baju dan bekas aksesori.
“Dahulunya kulit kayu ini tidak laku, tetapi sekarang ini situasi sangat berbeza kerana penghasilan topi dan baju ini sudah menerima permintaan yang tinggi,” ujarnya ketika ditemui wartawan AWANI Sarawak.
Tambahnya, ilmu menghasilkan kraf tangan berasaskan kulit kayu itu dipelajari daripada ibu saudaranya yang mewarisi ilmu tersebut secara turun-temurun.
Selain itu, Lipang juga menerima bantuan berupa bimbingan daripada Jabatan Pertanian Bahagian Kuching yang berkongsi ilmu untuk memperkemas hasil akhir rekaan kraf tangannya.
Walau bagaimanapun, Lipang berkata, cabaran utama yang dihadapinya adalah kekurangan kulit kayu Talun yang kini semakin sukar untuk didapati.
“Oleh itu, saya berharap agar pokok yang ditebang sebelum ini akan mampu tumbuh semula bagi memastikan perusahaan kami boleh diteruskan,” ujarnya.
Tidak terhenti di situ, Lipang merancang menghasilkan pakaian untuk wanita yang juga berasaskan kulit kayu.
Namun, perkara itu perlu mendapatkan persetujuan daripada 12 orang penduduk kampung yang turut sama mengusahakan kraftangan menggunakan material semula jadi itu.
Produknya dijual pada harga berpatutan dan bukan sahaja dijual di pasaran tempatan seperti Miri, Limbang dan Kota Kinabalu malah turut menerima permintaan yang tinggi dari negara Brunei Darussalam.
#jabatan pertanian
#kampung tok dayang
#kraf tangan
#kulit kayu talun
#lipang abi
#Sarawak
#sosioekonomi