Kulit bayi tujuh bulan mengelupas dan berdarah selepas keluar hospital
Astro Awani
April 10, 2014 18:53 MYT
April 10, 2014 18:53 MYT
Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru diminta memberi penjelasan terperinci berhubung penyakit kulit seorang bayi berusia tujuh bulan yang semakin teruk.
Ibu bayi terbabit Naziah Mat Nasir, 25, berkata keadaan kulit anaknya, Muhammad Adam Aryan Muhammad Danial semakin teruk selepas menerima rawatan di hospital berkenaan pada akhir bulan lalu.
Menurutnya, seluruh badan anaknya menjadi kemerahan, mengelupas dan berdarah setelah pihak hospital tersebut membuat pemindahan darah sebanyak tiga kali pada 25, 26 dan 27 Mac.
Kaki kanan bayi itu turut dilaporkan membengkak dan kehitaman.
Naziah membawa Adam Aryan ke hospital untuk rawatan susulan kali kedua akibat kekurangan protien dan darah berkata, beliau telah meminta penjelasan dari pihak hospital berkenaan namun tidak memperoleh sebarang jawapan.
Ekoran kejadian itu, Naziah dan suaminya membuat laporan polis di Balai Polis Seri Alam, Pasir Gudang pada 9 April kerana bimbang dengan keadaan anaknya yang kerap menangis akibat sakit kulit itu serta kurang aktif seperti sebelum kejadian.
Beliau yang ditemui di Pasir Gudang memberitahu, anaknya yang mengalami penyakit kulit Eczema sejak berusia dua bulan dimasukkan ke HSI selama 12 hari bermula 25 Mac lalu.
Pihak hospital kemudian membenarkan anaknya pulang ke rumah pada 7 April walaupun mengetahui keadaan anaknya masih belum pulih.
Akibatnya Muhammad Adam Aryan akan lebih banyak menangis terutama ketika cuaca panas.
Losyen dan krim badan yang dibekalkan pihak hospital itu juga tidak menghentikan tangisan Adam Aryan, ujar Naziah yang kesal dengan tindakan hospital.
Sementara itu, Pengarah Hospital Sultan Ismail, Dr Arbain Lani ketika dihubungi media memberitahu HSI akan menyiasat kes bayi tersebut dan akan menghubungi keluarga bayi itu setelah laporan perubatan selesai.