Kuliah maghrib Ustaz Azhar Idrus dibatalkan? Ini jawapan Jawi

Hasimi Muhamad
Julai 16, 2023 15:35 MYT
Jawi dalam satu kenyataan berkata, pihak masjid telah membuat pemakluman berhubung penangguhan undangan lebih awal kepada pihak penceramah - Foto/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kuliah penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak di ibu negara yang dijadual berlangsung malam ini bukan dibatalkan, sebaliknya ditangguhkan.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam satu kenyataan berkata, pihak masjid telah membuat pemakluman berhubung penangguhan undangan lebih awal kepada pihak penceramah.
Langkah tersebut, kata Jawi bagi memastikan proses penyusunan semula jadual pengkuliahan melibatkan penceramah dan tenaga pengajar dapat dibuat dengan mengambil kira beberapa acara utama.
"Justeru isu pembatalan adalah tidak berbangkit sama sekali.
"Kami berpandangan agar sebarang isu yang timbul dapat ditangani secara harmoni berlandaskan semangat persaudaraan antara semua pihak," katanya dalam kenyataan tersebut pada Ahad.
Jawi menambah, pihaknya komited memastikan institusi masjid dan surau terus berperanan sebagai pangkalan ibadah, pusat ilmu serta penyatuan masyarakat berdasarkan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505].
"Selain itu, berdasarkan Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019, dan Garis Panduan Program Pengajian Serta Pengimarahan Masjid dan Surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan," kata Jawi lagi.
Terdahulu, pihak pentadbir akaun Instagram Azhar Idrus mendakwa Kuliah Maghrib Perdana penceramah itu yang dijadual pada 16 Julai didakwa dibatalkan atas arahan pihak tertentu.
#Ustaz Azhar Idrus #UAI #ceramah batal #jawapan Jawi
;