Kukuhkan undang-undang buruh demi lindungi rakyat daripada eksploitasi neoliberal
Kolumnis AWANI
Disember 7, 2022 12:41 MYT
Disember 7, 2022 12:41 MYT
TINDAKAN kumpulan perniagaan seperti Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) dan Syarikat Pertengahan Konsortium Malaysia (MCMTC) menggesa kerajaan Malaysia supaya tidak menarik diri daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) sememangnya tidak mengejutkan.
Malaysia menjadi salah satu negara anggota CPTPP pada 29 November lalu, dan terdapat desakan daripada beberapa kumpulan masyarakat sivil supaya Malaysia menarik diri daripada CPTPP.
CPTPP bermula sebagai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), yang diperjuangkan oleh pentadbiran Obama untuk bertindak sebagai pengimbang kepada kebangkitan China sebagai kuasa global. Tujuannya adalah untuk Amerika Syarikat (AS) menulis peraturan perdagangan antara negara yang mengambil bahagian, yang akan merangkumi 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.
AS, di bawah pentadbiran Trump, menarik diri daripada TPP yang telah dimulakan. Penarikan itu mendapat sokongan dua parti, dengan kedua-dua Demokrat dan Republikan menentang AS menjadi pihak dalam perjanjian sedemikian.
Risiko tergugatnya kedudukan politik dalam negeri terbukti terlalu besar untuk kedua-dua pihak, dengan rakyat Amerika telah menjadi letih dan penat dengan peralihan pekerjaan ke negara-negara lain, jurang kekayaan dan pendapatan yang semakin meluas, kekurangan keselamatan sosial dan penghapusan hak buruh.
Ramai rakyat Amerika, terutamanya mereka yang kehilangan haknya oleh peraturan perdagangan global, menyalahkan organisasi global dan perjanjian perdagangan pelbagai hala seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Persatuan Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA).
Tiga isu telah muncul untuk mendominasi pembangkang dalam soal perdagangan bebas – gaji yang lebih kecil, standard buruh yang lebih rendah dan standard alam sekitar yang lebih buruk.
Bahawa AS, yang mempunyai paling banyak manfaat dalam erti kata mutlak daripada perjanjian perdagangan pelbagai hala seperti TPP melihat sebab untuk menarik diri.
Ia mesti menjadi penunjuk kepada negara lain seperti Malaysia. Hakikatnya ialah walaupun perdagangan global dilihat sebagai pertumbuhan eksponen sejak WTO diwujudkan pada tahun 1995, ia telah menyebabkan banyak menggugat aspek sosial, politik dan ekonomi dalam kalangan mereka yang telah kehilangan tempat tinggal atau kurang bernasib baik akibatnya.
Terdapat banyak aspek yang perlu diteliti untuk memastikan bahawa rakyat jelata negara yang mengambil bahagian mendapat manfaat daripadanya dan bukan hanya komuniti perniagaan. Kita perlu menyedari bahawa ketidakpuasan hati terhadap orde ekonomi global hari ini sehingga menyebabkan polarisasi melampau dalam masyarakat yang tidak mampan.
Satu bidang yang memerlukan perhatian segera adalah soal kepentingan golongan pekerja, untuk mencegah eksploitasi oleh perniagaan. Perniagaan, khususnya syarikat-syarikat besar, telah mengeksploitasi orde ekonomi global untuk menulis peraturan yang memihak kepada mereka.
Dari satu segi, FMM dan MCMTC adalah betul, memandangkan realiti ekonomi, kemungkinan dan potensi Malaysia, penarikan diri daripada CPTPP pada masa ini akan terbukti sebagai satu langkah yang terlalu jauh ke belakang dan tidak produktif.
Walau bagaimanapun, Malaysia perlu mengukuhkan mekanisme tadbir urus seperti undang-undang buruh untuk memberikan lebih perlindungan kepada pekerjanya.
Syarikat asing yang beroperasi di Malaysia mesti menghormati hak rakyat Malaysia, dan ia termasuklah budaya Malaysia. Seharusnya ada akibat penalti untuk menghalang majikan daripada mengeksploitasi pekerja-pekerja Malaysia dan keadaan-keadaan mereka menghalang aktiviti kesatuan sekerja.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah meletakkan usaha meringankan beban akibat kenaikan kos sara hidup rakyat Malaysia sebagai teras utama agenda reformasinya. Bagi memastikan ia menjadi perubahan berterusan, kemakmuran mesti dikongsi antara komuniti perniagaan dan orang awam.
Sudah tiba masanya untuk menerima hakikat bahawa agenda neoliberal yang menggalakkan perdagangan bebas dengan mengetepikan kesejahteraan umum rakyat, telah pun gagal. Malah, negara-negara maju yang telah mendapat manfaat daripadanya secara agregat kini menyedari kelemahannya yang membawa kesan buruk.
Malaysia harus sedar akan realiti sebegini dan memastikan rakyat tidak tertipu.
* Callistus Antony D'Angelus merupakan Penasihat Buruh Antarabangsa, Persatuan Khidmt Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM)
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.