KUIPs dinaik taraf jadi Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin
Bernama
November 23, 2024 14:49 MYT
November 23, 2024 14:49 MYT
KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini mengumumkan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) kini telah dinaik taraf menjadi Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin atau singkatannya (UniSIRAJ).
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor KUIPs bertitah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui surat bertarikh 15 Nov lepas telah meluluskan pendaftaran KUIPs untuk dinaik taraf sebagai universiti itu.
"Alhamdulillah. Tahniah kepada semua dan pencapaian membanggakan ini diharap dapat meningkatkan lagi motivasi semua warga UniSIRAJ untuk bekerja dan berusaha dengan lebih keras lagi bagi menjayakan misi dan visi universiti," titah baginda ketika berkenan berucap sempena Istiadat Konvokesyen Kali Ke-7 KUIPs di Dewan 2020 di sini hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah sehubungan itu, setiap warga universiti perlu sentiasa cermat dalam pengurusan kewangan dan beramanah dalam melaksanakan tanggungjawab serta berintegriti dalam setiap tindakan.
Raja Muda Perlis bertitah ia sebagai untuk mencapai sasaran menjadi sebuah institusi yang berdaya saing secara mandiri serta mampu berdiri megah sebagai universiti yang dihormati dan disegani.
"Kepada para pelajar pula, syabas, anda semua kini adalah alumni UniSIRAJ. Marilah kita sama-sama berganding bahu, bekerjasama dan melipatgandakan usaha bagi melonjakkan lagi kecemerlangan universiti ini di peringkat yang paling tinggi baik di dalam negara mahupun antarabangsa," titah baginda.
Baginda turut bertitah menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Ahli Lembaga Pengarah (ALP), Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Pengurusan Universiti dan para pensyarah serta seluruh warga KUIPs.
-- BERNAMA