Kuil Sri Maha Mariamman: Pulangkan wang RM1.5 juta, tanah - MB Selangor

Najib Aroff
Disember 15, 2018 12:53 MYT
AMIRUDIN: Kerajaan Negeri Selangor berpandangan tapak tanah dan wang pampasan yang diberikan oleh pemaju haruslah dipulangkan semula. - Gambar fail
Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ 25 perlu memulangkan semula wang pampasan RM1.5 juta dan tapak tanah seluas 0.405 hektar (satu ekar) yang diterima sebelum ini, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Katanya, kerajaan negeri menyambut baik kenyataan Peguam Negara Tommy Thomas berkenaan kuil itu dan bersetuju dengan penyelesaian yang dicadangkan.
"Kerajaan Negeri Selangor berpandangan tapak tanah dan wang pampasan yang diberikan oleh pemaju haruslah dipulangkan semula sebagai sebahagian daripada penyelesaian yang dicadangkan oleh Peguam Negara," katanya dalam satu kenyataan.
Tanah yang diberikan pemaju sepatutnya menjadi lokasi baharu kuil.
Thomas pada Jumaat berkata, satu perjanjian berjaya dicapai melibatkan isu Kuil Sri Maha Mariamman, yang dicadang dan disokong hasil pertemuan beliau dengan peguam syarikat pemaju berkenaan di pejabatnya awal minggu ini.
Antara lain, beliau berkata, tertakluk kepada terma dipersetujui, One City Development Sdn Bhd akan memindah hak milik plot tanah seluas satu ekar, di mana terletaknya Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, kepada pemegang amanah yang akan diuruskan oleh Mahkamah Tinggi.
Juga, Peguam Negara akan memohon kepada Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956 untuk melantik pemegang amanah bagi menguruskan amanah dan kuil itu.
Pada hujung bulan lepas, Selangor digemparkan dengan insiden kekecohan di kuil itu yang menyaksikan polis menahan 106 individu setakat ini bagi membantu siasatan.
BACA: Kecoh lagi di Kuil Sri Maha Mariamman, tetapi keadaan terkawal
Kejadian itu turut menyaksikan seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah akibat dipukul perusuh dan kini dirawat di Institut Jantung Negara.
BACA: Adib tidak lagi bergantung pada mesin sokongan jantung
BACA: Muhammad Adib mula tunjuk tindak balas
#Amirudin Shari #kekecohan #kuil #kuil sri maha mariamman #Menteri Besar Selangor #One City Development Sdn Bhd #pampasan #Peguam Negara #rusuhan #seafield #tanah #Tommy Thomas
;