Kuil Kek Lok Si berusia 130 tahun terbakar
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 12, 2021 17:40 MYT
Oktober 12, 2021 17:40 MYT
GEORGE TOWN: Sebanyak 70 peratus struktur bangunan kuil bersejarah Kek Lok Si di Air Itam di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi Selasa.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Muhamad Norhisyam Ibrahim, pihaknya menerima panggilan sekitar 2.56 pagi memaklumkan berlaku kebakaran tempat ibadat masyarakat Budhha yang berusia lebih 130 tahun itu.
Sehubungan itu, Muhamad Norhisyam berkata, sepasukan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong dengan bantuan dari Balai Bomba Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.
Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati berlaku kebakaran di atas bukit dan api sangat marak.
Pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian struktur bangunan kuil berkenaan rosak teruk namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
"Kebakaran melibatkan sebuah tokong di atas bukit dan dianggarkan 70 peratus daripada struktur bangunan kuil itu musnah," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Kuil Kek Lok Si bukan sahaja menjadi pusat ziarah penting bagi masyarakat Buddha, bahkan,
bangunan bersejarah terbesar di Malaysia itu juga tersenarai sebagai antara produk pelancongan popular di negeri Pulau Pinang.
Bangunan ikonik di negeri itu dibina bermula pada 1890 hingga 1930.