Kuil Kek Lok Si bermandikan cahaya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina

Bernama
Januari 26, 2022 05:32 MYT
Ooi (tengah) meninjau keadaan Kuil Kek Lok Si yang dihiasi tanglung tradisional serta lampu neon moden dan LED, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, di George Town, 26 Jan 2022. -- fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Selepas lebih setahun sunyi tidak membenarkan kedatangan pengunjung susulan pandemik COVID-19, kuil ikonik di Air Itam di sini yang berusia 131 tahun, bakal dilimpahi cahaya Jumaat ini, dengan disaksikan pelancong dan penganut Buddha.
Menariknya kuil tersebut akan berubah wajah umpama sebuah 'taman kayangan' dengan disinari lebih 10,000 tanglung tradisional Cina, ribuan lampu neon moden dan LED, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Khamis depan.
Pemegang amanah tokong itu Datuk Seri Steven Ooi berkata kuil seluas 12.1 hektar itu kini menerima kedatangan pelancong dan penganut sempena sambutan tersebut, dan kakitangan kuil akan berusaha memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata kuil itu akan bermandikan cahaya dan menyuluhi patung Kuan Yin yang berketinggian 33.6 meter serta kawasan pavilion semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina dari 28 Jan hingga 28 Feb ini.
"Upacara pencahayaan rasmi di kaki Pagoda hanya dibuka untuk tetamu jemputan sahaja sebagai pematuhan SOP, tetapi kawasan lain di kuil terbuka untuk orang ramai. Upacara itu juga akan disiarkan secara dalam talian untuk mereka yang tidak dapat bersama kita pada hari itu.
"Bagi upacara memohon restu, para penganut boleh memberi nama mereka untuk diletakkan pada tanglung di sekeliling kuil selama 32 hari. Pihak kuil akan menyediakan perhimpunan Dharma untuk merestui mereka dari 15 hingga 28 Feb," katanya kepada pemberita di kuil tersebut di sini semalam.
Bagaimanapun, Ooi turut menggesa penganut dan pelancong yang merancang untuk melawat kuil itu supaya mematuhi SOP yang ketat dan mengelak himounan orang ramai semasa kunjungan tersebut.
Terletak di atas bukit di Jalan Air Itam, Kuil Kek Lok Si dikenali sebagai kuil warisan di Malaysia dan menjadi tersohor di rantau ini dengan kompleks kuilnya yang luas dan indah.
Pemandangan menarik bukit-bukau di luar kuil turut melengkapkan keindahan reka bentuk unik bumbung dan tiang di dalam kuil tersebut.
-- BERNAMA
#Tahun Baharu Cina #COVID-19 #pandemik #Kuil Kek Lok Si
;