Kuil Hindu mesti ditutup daripada upacara sembahyang semasa gerhana bulan
Bernama
Januari 19, 2018 05:26 MYT
Januari 19, 2018 05:26 MYT
Semua kuil Hindu mesti ditutup daripada upacara sembahyang sepanjang tempoh berlakunya gerhana bulan pada Hari Thaipusam 31 Jan ini, menurut Malaysia Hindu Sangam (MHS).
Presiden MHS Datuk RS Mohan Shan berkata MHS bersama-sama 20 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Hindu yang lain, bersepakat bahawa semua tempat suci di dalam kuil mesti ditutup sepanjang tempoh berkenaan.
"Ini disebabkan, mengikut agama kami, gerhana mempunyai tenaga negatif yang akan meninggalkan kesan negatif. Inilah sebabnya kami dilarang daripada melakukan apa jua bentuk sembahyang dan ritual dalam tempoh ini. Ia telah diamalkan sejak beratus-ratus tahun yang lalu," katanya pada persidangan media di sini pada Jumaat.
Kuil Balathandayuthapani di George Town, Pulau Pinang; Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam di Sungai Petani, Kedah; yang merupakan dua lokasi penting bagi Thaipusam, dan beberapa kuil di Singapura serta India akan turut ditutup semasa berlaku gerhana bulan.
Bagaimanapun, Pengerusi Sri Maha Mariamman Temple Dhevasthanam Tan Sri R. Nadarajah sebelum ini berkata upacara keagamaan di Kuil Sri Subramaniam di Batu Caves pada Hari Thaipusam akan diteruskan meskipun semasa tempoh berlaku gerhana, yang menimbulkan kontroversi dalam kalangan penganut Hindu.
Gerhana bulan dijangka berlaku dari 7.48 malam hingga 11.11 malam pada 31 Jan, yang akan memendekkan tempoh bagi penganut Hindu untuk bersembahyang pada Hari Thaipusam.
Mohan Shan juga berkata sungguhpun sambutan Thaipusam tahun ini dijangka tidak semeriah sambutan pada tahun sebelumnya berikutan gerhana, namun tidak ada sebab untuk memulaukannya.
"Kami sekadar meminta agar ruang khas di bahagian dalam kuil tempat untuk bersembahyang ditutup dalam tempoh itu (gerhana) dan tiada kavadi atau ritual lain dibenarkan. Bahagian lain kuil itu boleh terus dibuka," katanya.
Beliau turut menggesa penganut Hindu supaya mematuhi garis panduan dalam membawa kavadi yang telah ditetapkan semasa sambutan Thaipusam sejak beberapa tahun kebelakangan.
"Parang, curut, dan barangan lain yang dilarang oleh agama tidak dibenarkan sama sekali digunakan semasa Thaipusam," katanya.
-- BERNAMA
#bulan
#Gerhana
#Hindu
#kontroversi
#kuil
#Malaysia Hindu Sangam
#MHS
#RS Mohan Shan
#sembahyang
#Thaipusam