Kuih telur penyu menjadi rebutan ketika Ramadan
Muhafandi Muhamad
April 22, 2022 09:45 MYT
April 22, 2022 09:45 MYT
GUA MUSANG: Kemahiran membuat juadah tradisi negara Thailand, kuih telur penyu, membuahkan hasil apabila seorang suri rumah berjaya membuat lebih 1,000 biji pencuci mulut itu dalam masa sehari ketika bulan Ramadan.
Siti Nor Azila Zulkifle, 38, yang tinggal di Bandar Utama, Gua Musang, Kelantan menjana pendapatan dengan menjual kuih telur penyu yang dipelajarinya sejak 15 tahun lalu.
Ujar Siti Nor Azila, dia belajar membuat kuih telur penyu daripada ibunya, Noriah Yaacob dan kini dia pula yang mewarisi pembuatan kuih itu.
Katanya, segala kerja membuat kuih itu dibuatnya seorang diri sehinggalah dibungkus dalam plastik untuk dijual kepada pelanggan.
"Saya buat kuih telur penyu ini sudah 15 tahun. Kuih ini kuih tradisi daripada mak dari Thailand. Dia panggil kuih telur penyu bahasa kitalah. Sebabnya macam telur penyu lembut dia tu.
"Bahan utama adalah kacang dari Thailand yang kita ambil khas dari sana, tepung pulut dan santan. Mula2-mula sekali kita kena masak kacang dulu, lepas tu esoknya baru kita buat kulitnya. Biasanya kalau saya, pagi tu saya siapkan, lepas hantar anak sekolah dalam pukul 8 saya mula buat," katanya.
Siti Nor Azila berkata, dia mampu meraih jualan kuih telur penyu lebih RM5,000 sebulan pada bulan Ramadan.
Tambahnya, harga jualan kuih telur penyu itu ialah RM2 bagi setiap lima biji.