Kuih raya sumber pendapatan sampingan, tak kisah bersengkang mata saban hari
Astro Awani
April 26, 2022 09:30 MYT
April 26, 2022 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: “Minta mak, kuih sepotong…saya mahu makan kerna perut kosong…”
Lirik lagu Selamat Hari Raya daripada Saloma itu pastinya selalu ‘merentasi’ cuping telinga anda, apatah lagi ketika Aidilfitri hampir tiba.
Ada bermacam juadah ketika Syawal - lemang, rendang, ketupat, nasi impit, kuah kacang, ketupat palas - dan pastinya, kuih raya.
Tak berseri rasanya meja makan kalau tiada kuih raya dan biasanya, Ramadan merupakan lubuk rezeki buat ramai orang, ada yang buat dan jual kuih raya sepenuh masa, ada pula separuh masa.
Bagi Raihan Rahman, 33, dia memilih untuk menjual ‘Corn Flakes Madu’, mulanya sekadar pendapatan sampingan namun kini tak menang tangan dibuatnya.
Semuanya bermula apabila dia merasai kuih tersebut beberapa tahun lepas dan selepas sukar mencari rasa sesedap yang pernah dimakannya itu, ibu kepada seorang anak itu memutuskan untuk buat sendiri.
Dari makan sendiri, dia beranikan diri untuk menjualnya secara dalam talian, dibantu suami, Fiqri Mansor, dan tahun ini, tempahannya semakin bertambah.
“Saya akui masa agak singkat untuk saya menyediakan tempahan. Alhamdulillah, pada bulan puasa ini tempat kerja beri pelepasan pulang lebih awal.
“Jadi bila habis waktu kerja Saya akan pulang segera dan menyediakan juadah berbuka yang ringkas, ada beli di bazar. Selebihnya, selepas berbukalah saya masak makanan ringkas.
“Biasanya saya mula buat kuih dalam jam 9 malam sehingga jam 11malam. Kalau hari cuti, saya akan buat seawal pagi dan guna masa yang ada sebaiknya untuk menyiapkan tempahan atau menyediakan stok lebih,” katanya kepada Astro AWANI.
Saban hari, dia hanya tidur lima ke enam jam namun semangatnya untuk memenuhi tempahan pelanggan tidak pernah luntur.
“Tak dinafikan, penat juga tapi saya terus bersemangat sebab bila pelanggan teruja untuk merasa ‘cornflakes’ saya. Bagi yang dah pernah beli, tahun ini mereka tempah lebih daripada tahun lalu.
“Dari situ saya tahu mereka berpuas hati dan suka kuih buatan saya. Itu yang buat saya hilang penat dan terus bersemangat,” ujarnya.
Bagi Nurhidayah Hairom yang merupakan pengasas Cadbreo Crunch, Ramadan tahun ini, kadangkala dia hanya tidur tiga jam demi menyiapkan tempahan pelanggan.
Begitupun, dia tidak kisah melalui semua itu asalkan pelanggan berpuas hati dengan hasil tangannya, penat pun rasa berbaloi.
“Alhamdulillah tempahan tahun ni paling tinggi sejak sembilan tahun meniaga biskut secara sampingan. Mungkin faktor aura sambutan Aidilfitri tahun ini yang lebih meriah selepas dua tahun orang ramai tidak pulang ke kampung.
“Saya harap saya dapat terus beroperasi sepanjang tahun dan perniagaan dapat dikembangkan lagi di pasaran yang lebih luas, termasuk menambah lebih ramai ejen pada masa akan datang,” katanya.
Bekerja tapi dalam masa sama berniaga, agak sukar buatnya untuk bahagikan masa namun dengan ada pembantu dan perkhidmatan ‘rider’ untuk hantar jualan, ia sedikit sebanyak meringankan bebannya.