Kuih limas 'inti' gumpalan rambut: Tindakan diambil selepas peroleh laporan makmal - Exco Kesihatan

Abd Razak Mohd Ali
April 16, 2022 05:28 MYT
Kuih limas 'berinti'gumpalan rambut yang dibeli di bazar Ramadan tular di media sosial sejak Rabu lalu. - Foto pembaca Astro AWANI
GOPENG: Jabatan Kesihatan Perak akan menunggu keputusan laporan makmal terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan berhubung penemuan segumpal rambut dalam kuih limas yang dijual di sebuah bazar Ramadan di Teluk Intan.
Menurut Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar & Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin, kesemua sampel makanan berkenaan telah diambil dan dihantar ke makmal untuk kajian terperinci.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati tempat memproses dan menjual kuih limas di rumah peniaga berkenaan dalam keadaan bersih.
“Siastan bukan setakat di bazar sahaja tetapi juga di rumah peniaga kuih limas, juga siasatan pengadu telahpun dihantar ke makmal untuk proses seterusnya.
“Dan daripada (sisatan bazar kuih limas tersebut bersih dan juga di rumahnya juga bersih,” kata Mohd Akmal.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menyantuni golongan asnaf dan kumpulan sasar Ramadan anjuran Jabatan Alam Sekitar Perak di Pusat Pembangunan Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini, pada Sabtu.
Dalam masa sama, Mohd Akmal menasihatkan peniaga makanan supaya mendaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan makanan yang jual bersih dan selamat.
Menurutnya, selepas berdaftar, mereka akan diberi tunjuk ajar mengenai amalan yang sepatutnya dilakukan dalam penyediaan makanan.
Pada Rabu, Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak menjalankan siasatan susulan kejadian tular pada 12 April berhubung gumpalan rambut ditemui di dalam kuih limas yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Teluk Intan.
#kuih limas #inti rambut #Bazar Ramadan #Teluk Intan