Kuih limas 'inti' gumpalan rambut: Premis dan rumah penjual diperiksa

Astro Awani
April 15, 2022 13:44 MYT
Inilah imej kuih limas yang tular sejak Rabu lalu. - Foto pembaca Astro AWANI
IPOH: Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah menjalankan pemeriksaan premis makanan susulan kejadian tular penemuan segumpal rambut di dalam kuih limas yang dijual di sebuah bazar Ramadan di Teluk Intan.
Pemeriksaan yang dijalankan pada Khamis di bazar Ramadan Teluk Intan itu melibatkan premis makanan dan tempat penyediaan makanan berkenaan, iaitu di rumah penjual itu.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin, pemerikasan tu dilakukan selepas BKKM JKN Perak menerima aduan daripada pengadu pada Rabu.
"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis dikategorikan sebagai bersih. Selain itu semua 84 lot premis di bazar Ramadan Teluk Intan turut dibuat pemeriksaan hari ini.
"Tiada notis kompaun dikeluarkan, namun sebanyak 254 pengendali makanan diberi pendidikan kesihatan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Mohd Akmal turut berkata, persampelan makanan untuk analisa makmal dilakukan di bazar Ramadan tersebut terutamanya terhadap makanan yang disediakan di rumah.
Menurutnya, makanan yang diterima dari pengadu akan dihantar untuk analisis makmal bagi tujuan siasatan kes.
Jelasnya, keterangan daripada pembeli serta penjual telah diambil dan kertas siasatan dibuka bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983 (Akta 281).
Setakat 13 April lalu, sebanyak 1,545 pemeriksaan premis bazar Ramadan telah dilakukan di seluruh Perak.
Pada Rabu, Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak menjalankan siasatan susulan kejadian tular pada 12 April berhubung gumpalan rambut ditemui di dalam kuih limas yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Teluk Intan.
#Bazar Ramadan #Jabatan Kesihatan Negeri #Mohd Akmal Kamarudin #kuih limas ada rambut
;