Kuih bakul ubat kerinduan kepada mendiang ibu

Bernama
Februari 11, 2021 13:20 MYT
Chang Yon Chai menyusun kuih bakul yang sudah siap untuk dikukus ketika ditemui di kediamannya di Wang Kelian, 8 Feb, 2021. --fotoBERNAMA
PADANG BESAR: Setiap kali menjelang sambutan Tahun Baru Cina, peniaga kuih bakul Chang Yon Chai dapat merasakan seolah-olah mendiang ibunya, Wong Chun Foong menemaninya membuat juadah tradisional itu.
Malah, dengan membuat kuih bakul, Chang, 64, dapat melepaskan kerinduan terhadap ibunya yang meninggal dunia 10 tahun lepas kerana ibunya lah yang mengajarnya membuat kuih tradisional masyarakat Cina itu.
"Ketika hidup, mendiang suka buat kuih bakul untuk kami adik-beradik... apabila buat kuih bakul saya dapat rasa mendiang ada dekat dengan diri saya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumah kedainya di Kaki Bukit, Wang Kelian di sini baru-baru ini.
Bapa kepada seorang anak itu berkata beliau juga sering membantu ibunya membuat kuih bakul ketika di bangku sekolah kerana sangat gemarkan keenakan kuih tersebut.
"Masih segar di ingatan saya semasa kecil, saya sering membantu mendiang ibu mengisar tepung secara manual pada waktu malam sebelum memasaknya di atas kayu api pada awal pagi dan kaedah itu saya teruskan hingga kini," katanya.
Chang berkata untuk terus memahat memori itu dan menghargai jasa ibu membesarkannya hasil daripada jualan kuih bakul, beliau bersama rakan kongsinya Lau Mun nekad mengusahakan perniagaan kuih bakul di sebuah kedai yang disewa di Kaki Bukit di sini sejak lima tahun lepas.
Katanya, biarpun keuntungan bagi perusahaan kuih bakul itu tidak seberapa berbanding keperluan masa dan tenaga, kepuasan itu tidak dapat dibeli di mana-mana.
Beliau berkata kebiasaannya mereka membuat lima tan kuih bakul setiap tahun menjelang perayaan Tahun Baru Cina, namun jumlah pengeluarannya dikurangkan kepada dua tan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan anggaran purata 200 kilogram kuih bakul bagi 150 unit sehari terjual di kedai mereka.
-- BERNAMA
#kuih bakul #Tahun Baru Cina #peniaga #juadah tradisional #kaki bukit #Wang Kelian #PKP
;