Kuih Bakul jana sumber pendapatan tambahan

Astro Awani
Februari 9, 2013 10:08 MYT
Sambutan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang Ahad, bukan sahaja memberi sumber pendapatan tambahan kepada peniaga berbangsa Tionghoa, malah ia turut dimanfaatkan bangsa lain.
Ini terbukti apabila ada seorang pengusaha India mengambil kesempatan mengusahakan kuih bakul yang sinonim dengan masyarakat Cina.
Bagi B.Balamurali, 44 tahun, inilah peluang untuk mengembangkan perusahaan tersebut kerana menurutnya, generasi muda tidak lagi gemar mewarisi perusahaan itu.
Dia yang mengusahakan kuih bakul secara komersial, sanggup ketepikan semua urusan kerjanya selama sebulan hanya untuk memenuhi permintaan pelanggan untuk menghasilkan kuih bakul.
Minat Bala timbul setelah menimba pengalaman bekerja di sebuah kilang kek membolehkan beliau membuka perusahaannya sendiri dengan bermodalkan RM100,000 dari pertolongan rakannya.
Lebih menarik lagi, 70 peratus daripada kuih bakulnya dieksport ke Singapura.
Bala yang telah mengusahakan kuih bakul selama 15 tahun itu, menerima lebih 5,000 tempahan sempena Tahun Baru Cina dan kebanyakkan tempahan daripada pelanggan Singapura.
Tambahnya lagi, jika diberi peluang beliau akan meluaskan lagi perusahaanya di peringkat antarabangsa.
#B.Balamurali #kuih bakul #Tahun Baru Cina
;