Kuih bakul diproses secara tradisional dapat permintaan tinggi

Bernama
Februari 11, 2015 11:08 MYT
Chow Leong berkata untuk membuat kuih itu, beras pulut itu dikisar halus untuk dijadikan tepung yang kemudian dimasak dengan gula putih dalam tempoh tertentu. - Gambar Bernama
Penghasilan kuih bakul secara tradisional mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat Cina untuk dijadikan hidangan wajib menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Ini kerana penghasilan secara tradisional mengunakan tepung beras pulut yang dikisar sendiri oleh pengusaha dan dibungkus dengan daun pisang lebih diminati berbanding kuih bakul yang disediakan menggunakan kaedah moden yang dijual secara komersial di pasar raya.
Peniaga kuih bakul, Fong Chow Leong, 60, dari Kampung Seberang Nyonya berkata untuk membuat kuih itu, beras pulut perlu dikisar halus untuk dijadikan tepung yang kemudian dimasak dengan gula putih dalam tempoh tertentu.
"Ramai pelanggan merungut kuih dibeli di pasar raya tidak sedap kerana ia dibalut dengan plastik berbanding daun pisang. Jadi mereka mencari pembuat kuih tradisional dan ada yang sanggup membayar harga yang mahal," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Fong berkata beliau turut menerima tempahan daripada ibu bapa di sini untuk dikirim kepada anak-anak mereka di Kuala Lumpur agar mereka dapat menikmati kuih bakul yang diproses secara tradisional.
Beliau berkata bagi masyarakat Cina adalah tidak lengkap sambutan Tahun Baharu sekiranya tidak menikmati sajian ini kerana kuih ini dipercayai membawa tuah.
Fong berkata setiap hari dia yang turut dibantu beberapa pekerja mampu menghasilkan kira-kira 600 biji kuih bakul untuk dipasarkan di kedai menjual kuih tradisional dan pasar malam sekitar Alor Setar.
"Tahun lepas dalam tempoh 22 hari, saya mampu buat lebih 13,000 kuih bakul dengan pendapatan kasar dianggarkan lebih RM40,000. Saya jual kuih bakul antara RM3 dan RM16 bergantung kepada saiz serta berat kuih tersebut," katanya.
Beliau berharap generasi muda akan datang dapat mengekalkan penyediaan kuih bakul secara tradisional supaya identiti masyarakat Cina negara ini, tidak pudar ditelan arus pemodenan.
#fong chow leong #kampung seberang nyonya #kuih bakul #Tahun Baharu Cina
;