Kuih Akok 'laku keras' di Bumi Kenyalang

Astro Awani
Mei 4, 2020 17:39 MYT
Salah seorang peminat kuih Akok bergambar dengan hasil air tangan Nur Hasyah ini, kuih Akok berkenaan memang menjadi juadah yang dinanti-nantikan di bandar raya Kuching ini. - Foto Astro AWANI
Kuih Akok merupakan salah satu juadah tradisi yang cukup terkenal di negeri Kelantan.
Kebiasaannya, kuih Akok akan mendapat permintaan luar biasa pada bulan Ramadan di kebanyakkan negeri di Semenanjung Malaysia.
Namun, kini kuih Akok bukan sahaja terkenal di Semenanjung, malah kuih tradisi ini sudah mula menjadi kegemaran warga Kuching dan mendapat permintaan yang tinggi penduduk di sana.
Segalanya bermula pada 2017 apabila seorang warga tempatan Nur Hasyah Muhammad Hassan yang berkahwin dengan suaminya yang berasal dari Kelantan memulakan perniagaan kuih Akok di Kuching.
Menurut Nur Hasyah, kuih Akok yang dijualnya mungkin sedikit berbeza dengan resipi asli dari Kelantan kerana kemanisannya disesuaikan dengan citarasa tempatan.
“Resipi ini dikongsi oleh ibu mertua saya namun saya terpaksa melakukan sedikit olahan daripada resipi asli.
“Ini kerana orang di Sarawak tidak suka menjamah sesuatu yang terlalu manis dan disebabkan rasa unik kuih Akok ini, ia diterima baik di sini dan sentiasa mendapat permintaan yang tinggi di bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Tambahnya kuih Akok jualannya bukan sahaja mendapat permintaan yang tinggi warga tempatan, malah turut digemari warga Semenanjung yang bermastautin di sana.
“Saya menjual kuih Akok ini bukan sahaja untuk menjana keuntungan semata-mata tetapi saya suka memperkenalkan sesuatu juadah yang baharu kepada penduduk di sini supaya ia boleh dinikmati bersama,” ujarnya.
Sementara itu, bagi peminat kuih Akok, Aminah Johari, dia berpendapat rasa kuih Akok dijual yang dijual Nur Hasyah sama seperti yang terdapat di Semenanjung cuma rasanya yang kurang manis.
“Saya pernah rasa kuih Akok di Semenanjung dan rasanya manis dan sedap, tetapi apa yang dijual di sini sedikit berbeza dan bertepatan dengan citarasa kami,” kata Aminah.
Manakala bagi Zulaiqha Asiya Bidin pengalaman belajar di Shah Alam mengajarnya menikmati pelbagai jenis juadah yang tidak terdapat di Sarawak termasuk kuih Akok.
“Saya berasa sangat gembira kerana kuih ini sudah dijual di Kuching dan paling penting rasanya sama seperti kuih Akok di Shah Alam.
“Bagi warga Bumi Kenyalang yang tidak pernah berkesempatan menikmati kuih ini, anda pasti menyukainya kerana keunikkan rasanya,” jelasnya.
#Akok Manis #Aminah Johari #Bazar Ramadan #Kelantan #Kuching #Kuih Akok #perintah kawalan pergerakan #PKP #Sarawak #Semenanjung Malaysia #Zulaiqa Asiya Bidin
;