Kudung tidak halang Mohd Shahdam buru emas Muay Thai di SUKMA 2024
Bernama
Julai 21, 2024 10:20 MYT
Julai 21, 2024 10:20 MYT
GEORGE TOWN: Kekurangan pada fizikalnya bukan penghalang buat atlet Muay Thai Pulau Pinang Mohd Shahdam Abdul Aziz menetapkan sasaran merangkul pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak bulan depan.
Pada edisi lepas di Perak, atlet berusia 20 tahun yang kudung pergelangan tangan kiri akibat terkena mesin tebu semasa kecil meraih pingat perak, tewas kepada wakil Perak yang juga juara dunia Mohd Rifdean Masdor di final kategori 45-48 kilogram (kg).
"Saya rasa tak ada halangan (kudung) sebab memang minat. Sekarang pun dengan persiapan kali ini memang bagus dan latihan semua cukup.
"Sebelum ini saya dapat pingat perak, jadi kali ini, saya rasa 100 peratus yakin dengan diri boleh buat. Cuma tinggal nak rangkul emas sahaja," katanya kepada Bernama di sini.
Mohd Shahdam yang bekerja sebagai penghantar makanan separuh masa berkata pengalaman beraksi di pentas final Kejohanan Remaja Dunia di Bangkok berdepan peninju Belarus, menjadi persiapan terbaik untuk bersaing di pentas SUKMA kelak.
Bagi kategori wanita pula, Nur Afrina Mohd Firaheez turut bersemangat mahu menyumbang pingat buat kontinjen Pulau Mutiara dalam penampilan sulungnya di pentas SUKMA ke-21.
"Untuk SUKMA kali ini dengan pencapaian saya, saya sasarkan pingat perak. Kalau ada rezeki emas, tetapi kalau dapat pingat pun sudah bagus.
"Saya ada juga sertai beberapa kejohanan seperti kejohanan kebangsaan dan kejohanan antarabangsa di Thailand. Jadi dengan persiapan kali ini, saya rasa dah bersedia," kata pelajar Sekolah Menengah Al-Ikram, Tasek Gelugor itu.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad Muay Thai Pulau Pinang Abdul Basri Mohd Bukhori, 38, berkata prestasi atlet ketika ini berada pada tahap terbaik diikuti dengan program yang lebih tersusun berbanding persiapan SUKMA edisi lepas.
"Saya memang yakin dan bersemangat sebab atlet menunjukkan prestasi, komitmen dan disiplin yang baik. Teknik mereka pun dah semakin baik dan keputusankita pergi di beberapa kejohanan pun memberangsangkan, jadi kali ini kami akan lawan habis-habisan," katanya.
Pengurus pasukan Mohd Hilme Ibrahim pula berkata dengan persiapan terkini termasuk kem latihan yang dilaksanakan, beliau yakin dapat memberikan saingan sengit kepada lawan sekali gus mencipta kemenangan di temasya dwitahunan kebangsaan itu.
"Kita buat persiapan ini dengan semua atlet duduk dalam kem terus selama dua bulan dan kita bawa jurulatih dari Thailand dibantu juga tiga jurulatih kita. Bagi saya, dengan persiapan yang kita buat ini makin meningkatlah (prestasi) dan kita berharap berterusan sehingga SUKMA," katanya.
Skuad Muay Thai Pulau Pinang menyasarkan masing-masing satu emas dan perak selain dua gangsa, membariskan 17 atlet dalam kesemua kategori terdiri daripada sembilan kategori lelaki dan tujuh perempuan pada SUKMA ke-21.
Untuk rekod, pasukan Muay Thai Pulau Pinang membawa pulang masing-masing satu perak dan gangsa.
-- BERNAMA