KUD Putrajaya mampu tarik dua juta pengunjung - Sivarasa
Bernama
Oktober 4, 2019 07:22 MYT
Oktober 4, 2019 07:22 MYT
Lebih dua juta pengunjung dijangka memeriahkan Karnival Usahawan Desa (KUD) di Putrajaya bermula 17 Okt ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa berkata, pihaknya yakin sasaran itu boleh dicapai berdasarkan penglibatan 1,000 usahawan daripada pelbagai segmen perniagaan pada karnival selama lima hari itu.
"Momentum KUD telah kita mulakan melalui tiga penganjuran di peringkat zon iaitu di Pulau Pinang, Terengganu serta Sabah dan kita yakin bahang itu akan memuncak menjelang acara kemuncak 17 Okt ini.
"Kita yakin himpunan usahawan merangkumi segmen jualan produk desa, mesin, ternakan, makanan minuman dan perkhidmatan di KUD Putrajaya mampu menarik kehadiran masyarakat termasuk dari luar Kuala Lumpur," katanya sebelum melepaskan peserta Kayuhan Santai KUD 2019 @Cyberjaya, di sini hari ini.
Acara kayuhan santai sebagai satu daripada program promosi KUD Putrajaya yang melibatkan penyertaan lebih 3,000 peserta itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.
Sivarasa berkata matlamat utama kementerian ialah bagi membantu usahawan kecil dan sederhana berpotensi mengembangkan perniagaan masing-masing dan KUD merupakan platform terbaik menjayakan tujuan itu.
"Dengan anggaran lebih dua juta pengunjung akan membanjiri Putrajaya, kita yakin usahawan akan mendapat manfaat besar seterusnya nilai jualan sebanyak RM40 juta yang disasarkan boleh tercapai," katanya.
-- BERNAMA
#Cyberjaya
#jualan
#Karnival Usahawan Desa
#Kayuhan Santai KUD 2019
#KUD
#perniagaan
#produk desa
#Putrajaya
#R Sivarasa
#ternakan
#usahawan