Kes kucing mati ngeri di UM, semakan CCTV dapati diserang anjing liar - Polis

Umavathi Ramayah
Disember 22, 2024 14:30 MYT
Polis telah menerima tiga laporan polis berhubung kejadian kematian kucing itu pada Isnin, Jumaat dan Sabtu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kematian dua ekor kucing di Universiti Malaya (UM) mendapati binatang itu diserang sekumpulan anjing liar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata hasil semakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) turut mengesahkan kecederaan yang dialami kucing-kucing berkenaan adalah akibat serangan haiwan liar.
Beliau memberitahu, pihaknya menerima tiga laporan berhubung kejadian itu iaitu pada 17, 20 dan 21 Disember lalu.
"Walau bagaimanapun, tiada saksi yang menyaksikan kejadian tersebut berlaku," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Kucing mati: Tiada saksi, CCTV punca siasatan makin sukar - DVS
Sehubungan itu, Rusdi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau melaporkannya ke balai polis berhampiran.
Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan secara rasmi sekiranya terdapat kes penganiayaan haiwan kepada JPV di pautan awa.dvs.gov.my. agar tindakan tegas dapat diambil.
Sebelum ini, media melaporkan dua ekor kucing ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM.
Perkongsian itu turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
#UM #kucing mati #punca kematian #polis
;