Kuching, Lundu, Samarahan dilanda banjir kilat

Nazrin Hamdan
Februari 19, 2021 10:27 MYT
Hujan luar biasa sejak jam 11 malam tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar daerah ini dinaiki air pagi Jumaat. -Astro AWANI
KUCHING: Hujan luar biasa sejak jam 11 malam tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar daerah ini dinaiki air pagi Jumaat.
Tinjauan Astro AWANI mendapati antara lokasi yang terjejas teruk adalah di kawasan Matang dan Batu Kawa.
Turut terjejas beberapa lokasi di Samarahan dan Kota Sentosa.
Laporan awal yang diterima, antara lokasi banjir kilat termasuk di Kampung Sinar Budi Baharu, dengan air naik mendadak ke paras 2 ke 3 kaki.
Turut tenggelam Taman Samarindah, Taman Merlin dan Taman Univista.
Sementara itu, sebuah kereta dilaporkan terjunam ke dalam longkang kerana keadaan penglihatan yang rendah.
Di Lundu, tanah runtuh memutuskan jalan di Jalan Semuning Cina dan Pasar Lundu.
Di Kuching, banjir kilat turut menenggelamkan beberapa lokasi rendah seperti di Jalan Tun Abang Haji Openg berdekatan Hospital Umum Sarawak dan Jalan Barrack, yang menempatkan bangunan parkir Saujana.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri ketika dihubungi memaklumkan empat keluarga diselamatkan di Taman Muara Tuang, namun tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini.
#banjir Sarawak #banjir kilat #Samarahan #Kota Sentosa #kawasan rendah #matang #Batu Kawa #Kampung Sinar Budi Baharu #Taman Samarindah
;