Kuching bakal jadi bandar raya pintar - Abang Johari

Astro Awani
Oktober 5, 2021 16:51 MYT
Di bawah Pelan Induk Bandar Raya Pintar Kuching (KSCMP), Kuching akan menjadi bandar raya pintar kedua di Sarawak selepas Miri. - FOTO: BERNAMA
KUCHING: Kuching mengorak langkah ke arah menjadi bandar raya pintar dengan pembangunan sistem operasi bandar raya pintar di bawah Pelan Induk Bandar Raya Pintar Kuching (KSCMP) oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).
Menurut Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, tujuan utama pelan induk itu adalah bagi menghubungkan rakyat dengan kerajaan demi menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien.
Kata Abang Johari, Taman Perumahan Pintar Darul Hana di Petra Jaya akan dijadikan model pelan sebelum diperluaskan ke kawasan lain seperti Padawan dan Samarahan.
‘’Latihan ini melibatkan penduduk jadi banyak penglibatan yang dilakukan SMA dengan penduduk dan mereka mencari penyelesaian tertentu dan saya harap pelan induk ini akan mencetuskan pembangunan ekonomi.
‘’Pada masa sama menambah baik perkhidmatan yang kita berikan kepada rakyat dan yang lain adalah dari segi perancangan, kita akan bermula dengan perhubungan di Darul Hana kemudian kita boleh mengembangkannya di kawasan lain termasuk Padawan dan selepas itu Samarahan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Pelan Induk Bandar Raya Pintar Kuching Di Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Selasa.
Sementara itu, Pengurus Besar SMA, Dr Zaidi Razak berkata pihaknya telah melakukan kajian melalui survei melibatkan 632 penduduk, 604 entiti perniagaan, kapten industri, organisasi kerajaan dan bukan kerajaan.
Mereka mewakili pelbagai kumpulan berkepentingan untuk mengenal pasti permasalahan serta cadangan dalam usaha mengubah Kuching menjadi bandar raya pintar.
“Hasil kajian ini, lima bidang fokus untuk bandar raya pintar termasuk pertumbuhan ekonomi, kehidupan pintar, persekitaran bersih, kerajaan digital dan infrastruktur digital.
‘’Sebanyak 38 inisiatif kota pintar yang dikenal pasti dalam lima bidang tumpuan dan disusun untuk dilaksanakan bermula 2021 hingga 2025,’’ ujarnya.
Jelasnya, sistem operasi bandar raya pintar itu menjadi kunci untuk membolehkan pelbagai perkhidmatan dapat diberikan menerusi ekosistem bandar raya pintar.
#Kuching bandar raya pintar #Abang Johari Tun Openg #pendigitalan Sarawak #Sarawak Maju 2030
;