Kubur besar pelarian: Macam mana boleh terlepas pandang? - Shahidan

Astro Awani
Mei 25, 2015 11:14 MYT
SHAHIDAN: Persoalannya, kenapa kita tak dapat kesan? -Gambar fail
Belum pun reda kes penemuan kem pemerdagangan manusia di sempadan Thailand-Malaysia yang menggemparkan dunia beberapa minggu lalu, kini kita digegarkan lagi dengan penemuan kubur dan mayat ratusan warga pelarian.
Semalam, kubur besar tersebut ditemukan dan dilapor lebih 100 mayat telah dikebumikan di puncak Gunung Perlis di Wang Kelian, Perlis.
Namun, yang menjadi persoalan, bagaimana kejadian itu tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa Malaysia.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, terdapat beratus-ratus nyawa yang terlibat dan pihak berkuasa serta kerajaan tidak seharusnya terlepas pandang perkara ini.
"Persoalannya, kenapa kita tak dapat kesan? Kawasan taman negeri ni dikawal rapi supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba meneroka. Demikian juga taman di Endau Rompin, di Belung dikawal ketat.
"Sepatutnya mereka buat rondaan sekurang-kurangnya sebulan sekali ke kawasan ini untuk membolehkan mereka mengesan apa yang berlaku dan melihat apa perkembangan yang boleh dibuat," kata Shahidan.
Menurut beliau, ia berkemungkinan laluan yang digunakan ahli sindiket untuk membawa pelarian turun dari gunung sebelum dibawa ke lokasi lain.
Tambah beliau, ahli sindiket yang melakukan kegiatan pemerdangan manusia tersebut disifatkan sangat kejam dan tidak berperikemanusian kerana mereka bukan sahaja membunuh malahan mengebumikan mangsa dengan tidak sempurna.
"Siasatan ini untuk membolehkan kita memperoleh bukti sama ada mereka mayat pelarian Bangladesh atau Rohingya. Orang yang melakukan kerja ini cukup biadap dan juga kurang ajar, dan mereka harus ditangkap.
"Saya pasti tidak mungkin puak sebelah sana sahaja yang terlibat, sudah pasti ada orang tempatan juga yang terlibat dan kita akan cari hingga ke lubang cacing dan menangkap mereka," tambah Shahidan.
Menurutnya lagi, langkah meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan bukan sahaja di kawasan sempadan tetapi juga di hutan simpan perlu untuk mencegah kejadian ini daripada berulang.
Pemeriksaan menunjukkan bahawa jalan yang digunakan ahli sindiket untuk membawa keluar pelarian atau pendatang asing hanya kira-kira 50 meter dari jalan utama menuju ke kompleks membeli belah yang terkenal dengan nama Wang Kelian dan juga terletak di belakang Taman Negeri Perlis.
#kubur besar #pelarian #pemerdagangan manusia #Shahidan Kassim #sindiket
;