Kubu pertahanan di Bertam Baru imbas pengalaman perintah berkurung
Bernama
September 14, 2023 04:30 MYT
September 14, 2023 04:30 MYT
GUA MUSANG: Kubu pertahanan berusia 81 tahun yang masih kukuh tersergam di pintu masuk berhadapan Balai Polis Bertam Baru, di sini mengingatkan penduduk kampung tentang pengalaman terpaksa menempuhi perintah berkurung semasa zaman penaklukan tentera Jepun satu ketika dahulu.
Naim Sulaiman, 61, berkata kubu yang menjadi tempat tentera berlindung serta kawasan kawalan semasa Tanah Melayu diserang tentera Jepun itu dipercayai dibina pada 1942 menggunakan bata dan konkrit, dan masih dijaga dengan baik sehingga kini.
"Kubu ini juga digunakan askar British sekitar tahun 70-an untuk mempertahankan kampung ini kerana waktu itu komunis masih ada di tanah air terutamanya di kawasan pedalaman seperti Kampung Bertam Baru ini yang terletak hampir 50 kilometer dari bandar Gua Musang," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bertam Baru di sini.
Mengimbau kenangan, Naim berkata kampung itu yang juga dikenali sebagai Kampung Dalam Kerawat diwujudkan untuk penduduk dari Kampung Kuala Sungai, Limau Kasturi dan Kampung Pasir Tumboh berkumpul serta berlindung daripada serangan komunis.
"Menerusi penceritaan orang terdahulu, ia dapat memberi peringatan kepada kita terhadap pengorbanan pejuang negara dan tinggalan sejarah," katanya.
Seorang lagi penduduk Noor Asiah Ab Kadir, 60, berkata melihatkan kubu berkenaan menyebabkan dia bersyukur dengan keamanan dikecapi hari ini.
"Pada waktu itu (zaman penaklukan tentera Jepun), setibanya pukul 6 petang penduduk dikawal supaya tidak boleh keluar ke mana-mana, malah lampu juga tidak boleh dipasang. Kami hanya menggunakan pelita kerana waktu itu masih terdapat komunis yang berkeliaran di kawasan luar," katanya.
Bagi anak jati Kampung Bertam Baru Siti Arfah Inche Jaafar, 30, berkata warisan sejarah itu perlu dihargai dan dihayati oleh generasi baharu sepertinya, sekali gus mewujudkan perasaan bangga dengan khazanah berkenaan.
"Keluarga saya pernah bercerita tentang peninggalan sejarah seperti kubu dan balai polis di sini, juga mengenai peristiwa dawai berduri (kerawat) dipasang mengelilingi kampung bertujuan menyekat komunis daripada menceroboh masuk," katanya.
-- BERNAMA