Kubang Pasu dilanda banjir selepas hujan berterusan selama dua hari
Adie Sufian Zulkefli
November 27, 2024 15:08 MYT
November 27, 2024 15:08 MYT
KUBANG PASU: Daerah Kubang Pasu, Kedah dilanda banjir pada Rabu selepas dilanda hujan berterusan selama dua hari.
Ringkasan AI
- Hujan berlarutan selama dua hari menyebabkan banjir di daerah Kubang Pasu, dengan lebih 10 rumah di Kampung Nang Mah dinaiki air setinggi 1.3 meter.
- Jalan utama antara Changlun ke Jitra terpaksa ditutup untuk kenderaan ringan akibat banjir, dan paras air sungai di Sungai Laka dan Sungai Sintok terus meningkat.
- Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten Mohd Adenin Suhaimi, menasihatkan penduduk supaya bersiap sedia untuk berpindah jika paras air terus meningkat, walaupun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, lebih 10 buah rumah di Kampung Nang Mah, di sini, dinaiki air setinggi 1.3 meter.
Beliau berkata, banjir turut mengakibatkan jalan utama Changlun ke Jitra terpaksa ditutup untuk kenderaan ringan.
“Air mula naik jam 6 pagi tadi selepas paras air sungai Sungai Laka di Kampung Padang Pasir dan Sungai Sintok di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok melimpah sehingga memasuki kediaman penduduk.
“Setakat jam 1 petang tadi, kedua-dua sungai berkenaan menunjukkan trend menaik dan operasi pemindahan mangsa sedang dilakukan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Mohd Adenin berkata, APM Kubang Pasu sedang melakukan pemantauan di lokasi terjejas yang dinaiki air di daerah ini.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya bersiap sedia untuk berpindah sekiranya paras air terus meningkat terutama di kawasan berhampiran sungai.
"Anggota kami masih melakukan pemantauan berikutan aras air sungai terus meningkat ketika ini dan masih hujan.
"Setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka namun kami bersedia pada bila-bila masa jika PPS dibuka untuk memindahkan mangsa yang terjejas," katanya.