Kuat kuasa undi 18 tahun pada PRU15 - Pemuda Gerakan

Bernama
Mac 12, 2021 04:20 MYT
Sebelum ini, kerajaan berkata, pelaksanaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perwakilan Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mahu penguatkuasaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Wong Chia Zhen berkata penguatkuasaan tersebut termasuk pendaftaran pemilih secara automatik.
"Harap-harap boleh jadilah.Tetapi saya dimaklumkan terdapat beberapa negeri masih belum meluluskan rang undang-undang negeri yang mengizinkan pemuda dan pemudi menyertai proses demokrasi (undi) itu," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Pemuda Nasional Parti Gerakan ke-33, malam tadi.
Beliau berkata parti sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) itu komited terhadap pembinaan persekitaran politik yang stabil di negara ini dan berpendapat ia hanya wujud melalui komitmen yang berterusan dengan Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata pelaksanaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.
Sementara itu, Ketua Wanita Gerakan Janice Wong Oi Foon dalam ucapan pada persidangan sayap berkenaan yang berlangsung secara berasingan berkata sayap itu bersama organisasi wanita lain akan bekerjasama dalam usaha memperkasa dan mengarusperdanakan wanita bagi mendepani cabaran normal baharu susulan pandemik COVID-19.
"Kehidupan rakyat makin terhimpit, terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan COVID-19. Kami akan menubuhkan satu Pasukan Kerja Mendepani Norma Baharu untuk ini.
"Kami bekerjasama dengan mengadakan kursus perniagaan dalam talian, membantu dan memastikan golongan wanita menguasai teknologi baharu dan seterusnya meningkatkan kemahiran wanita dalam era teknologi baharu, supaya mereka mempunyai daya saing yang tinggi untuk berjaya," katanya.
Beliau berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan yang lebih banyak kepada dana khas usahawan wanita selain mencadangkan subsidi penuh kepada golongan wanita untuk menyertai program-program kemahiran yang berkaitan.
Kedua-dua persidangan berkenaan yang dilaksanakan sepenuhnya secara maya itu dirasmikan Timbalan Presidennya Oh Tong Keong.
-- BERNAMA
#Takiyuddin Hassan #pilihan raya #politik #kerajaan #Undi 18 #rakyat Malaysia #undang-undang #GERAKAN #usia kelayakan mengundi #Wong Chia Zhen #Pendaftaran Pemilih #automatik #PRU15 #Janice Wong Oi Foon #COVID-19 #dana khas #Usahawan wanita #subsidi
;