Kuasai teknologi digital, bangun tenaga kerja berkebolehan - Dr Mahathir
Madiha Abdullah
November 1, 2022 19:47 MYT
November 1, 2022 19:47 MYT
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk kita menyemak semula model ramalan kerana dunia sedang beralih dan bergerak pantas ke arah keseimbangan baharu yang dikuasai digital.
Preisden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketidaktentuan yang dihadapi kini, sama ada dalam ekonomi atau politik, berkemungkinan akan berterusan, sekali gus memerlukan pendekatan baharu dalam menanganinya.
Dalam tempoh pandemik COVID-19, teknologi, kata Dr Mahathir, memainkan peranan yang besar dalam kehidupan dan pastinya akan menjadi lebih penting di masa hadapan.
"Ketika ini, penggunaan teknologi di Malaysia terutamanya dalam perniagaan dan industri masih rendah, disebabkan isu kos, kekurangan tenaga mahir atau tahap kesedaran terhadap keperluannya yang masih rendah.
"Malaysia tidak mampu untuk berada di belakang lebih lama kerana produktiviti kita akan terjejas seperti daya saing kita. Kadar produktiviti negara kita berada di belakang negara maju dan melalui penggunaan teknologi yang berkesan, kita akan dapat meningkatkan kadar produktiviti kita," katanya ketika menyampaikan ucapan penutup Perdana Leadership Foundation CEO Forum 2022, pada Selasa.
Dalam ucapannya, Dr Mahathir turut menggariskan dua perkara yang perlu diberi penekanan dalam adaptasi teknologi iaitu insentif dasar untuk perusahaan Malaysia mengguna pakai teknologi, serta memperkembangkan tenaga kerja dan bakat dalam bidang ini.
"Isu bakat adalah satu perkara yang penting untuk ditangani sekiranya Malaysia ingin menyertai barisan negara ekonomi maju.
"Malaysia memerlukan tenaga bakat yang berterusan dalam bidang seperti robotik, Kepintaran Buatan (AI), sains, nanoteknologi dan kejuruteraan genetik untuk dapat menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi," jelasnya.
Justeru, kemahuan politik dan kerajaan yang berwawasan, adalah mustahak bagi membolehkan negara menyahut apa sahaja cabaran dan mempercepatkan pembangunan serta kemajuan.
Malaysia, tambahnya, perlu bersedia dengan sebarang kejutan global atau konflik, kemajuan teknologi untuk kekal berdaya saing dan isu perubahan iklim yang bakal memberi impak besar dalam pembangunan sesebuah negara.