Kuasa tandatangan kontrak: KSN sifatkan KSU cuai, susah dimaafkan

Harits Asyraf Hasnan
Jun 23, 2015 18:41 MYT
ALI HAMSA: KSU adalah pegawai pengawal kementerian, memang susah dimaafkan. Mereka perlu faham tanggungjawab masing-masing.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini kecewa dengan sikap segelintir penjawat awam yang cuai dalam melakukan tugas terutama mereka yang diberi tanggungjawab sebagai pegawai pengawal kementerian.
Ali berkata, kecuaian yang berkait salahguna kuasa terutama melibatkan kontrak perbendaharaan sukar untuk dimaafkan sekaligus perlu dikenakan hukuman tatatertib.
"Ini katogeri kecuaian...yang melebihi had (kontrak) secara automatik perlu untuk mendapatkan kuasa daripada menteri.
"Jadi sini, itu merupakan kecuaian. Dia (pesalah) boleh dijatuhkan hukuman tatatertib.
"KSU adalah pegawai pengawal kementerian, memang susah dimaafkan. Mereka perlu faham tanggungjawab masing-masing. Saya harap perkara ini tidak berulang," tegas Ali pada Sesi Bersama Media: Tindakan Susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2 di sini hari ini.
Ujar beliau lagi, pegawai pengawal kementerian seperti Ketua Setiausaha (KSU) seharusnya mengetahui serta faham tanggungjawab masing-masing.
Beliau mengulas pertanyaan berkaitan sikap cuai KSU Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang menandatangani kontrak bernilai lebih RM268 juta pada Disember 2012 sebagai bayaran insentif kerajaan kepada Sunlight Inno Seafood Sdn Bhd.
KSU adalah pegawai pengawal kementerian, memang susah dimaafkan. Mereka perlu faham tanggungjawab masing-masing.
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2 mendapati kontrak yang ditandatangani itu tidak menurut pemberikuasaan yang ditetapkan.
Ini kerana, di bawah Seksyen 2, Akta Kontrak Kerajaan 1949 (Akta 120) KSU MOA hanya dibenarkan menandatangani kontrak bernilai antara RM20 juta hingga RM100 juta berdasarkan surat pemberikuasaan bertarikh 10 April 2009.
BERITA LANJUT MENYUSUL
#Ali Hamsa #pegawai pengawal kementerian #penjawat awam
;