Kuasa PM dikurangkan, kuasa Parlimen ditambah
Azyyati Ahmad
Ogos 13, 2018 19:28 MYT
Ogos 13, 2018 19:28 MYT
Pemilihan jawatan Ketua Audit Negara dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi berada di bawah kuasa Perdana Menteri.
Ia dicadangkan untuk diletakkan di bawah beberapa Jawatankuasa Khas Parlimen bagi memperketat pentadbiran kewangan negara dan menyukarkan berlakunya rasuah.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jawatankuasa itu akan melantik Ketua Audit Negara dan anggota SPRM tanpa campur tangan kerajaan.
"Ini bermakna kuasa Perdana Menteri akan dikurangkan, malah kuasa Parlimen akan ditambah supaya segala kegiatan kerajaan dapat dilihat dan dikuasai oleh Parlimen selain diadakan perbahasan sekiranya ada sebarang keraguan.
"Perdana Menteri dan kerajaan juga tidak boleh campur tangan dalam pemilihan itu, serta tiada kuasa untuk menjatuhkan hukuman, menyingkirkan dan menurunkan pangkat Ketua Audit Negara," jelasnya dalam satu sidang media di Putrajaya.
Menurutnya, perkara itu telah dicapai selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang ketiga pada Isnin.