Kuasa mutlak kerajaan dalam pemberian nama anak panda ketiga - Zoo Negara

Bernama
April 23, 2022 05:38 MYT
Rosly berkata, pihaknya masih menunggu lampu hijau daripada kerajaan tentang keputusan berhubung penghantaran pulang anak panda gergasi kedua, Yi Yi yang kini berusia empat tahun. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Anak panda ketiga pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang yang dilahirkan pada 31 Mei tahun lepas masih belum diberi nama, kata Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Amat Lana.
Katanya kuasa pemberian nama anak panda jantan itu adalah tertakluk kepada kerajaan kerana pihaknya tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian.
"Kami sedang menunggu keputusan kerajaan untuk menamakan anak panda ketiga itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di Zoo Negara, Ulu Klang dekat sini semalam.
Beliau berkata anak panda ketiga yang mula dipamerkan di Pusat Konservatif Panda Gergasi sejak 1 Okt tahun lepas bersama ibunya, Liang Liang kini sihat dan masih menyusu.
"Usianya kini hampir setahun dan beratnya telah mencecah sehingga 80 kilogram... ia sangat rapat dengan ibunya dan kami mempamerkan mereka secara bergilir-gilir dengan anak panda kedua, Yi Yi," katanya.
Ditanya mengenai proses penghantaran pulang anak panda gergasi kedua, Yi Yi yang kini berusia empat tahun, Rosly berkata pihaknya masih menunggu lampu hijau daripada kerajaan tentang keputusan itu.
"Kami sudah bersedia lebih awal untuk proses penghantaran pulang Yi Yi ke China mengikut perjanjian (antara Malaysia dan China), cuma kini masih menunggu keputusan kerajaan. Bagaimanapun, kami masih mempamerkan Yi Yi di sini (Pusat Konservatif Panda Gergasi) secara bergilir-gilir antara ibunya, Liang Liang dan adiknya kerana ibunya sudah tidak mahu lagi bersama dengannya sejak dua tahun lepas.
"Kami terpaksa mengasingkan Yi Yi daripada ibunya selepas putus susu kerana dikhuatiri ibunya akan mencederakannya," katanya.
Yi Yi yang dilahirkan pada 14 Jan 2018 sepatutnya dibawa pulang ke China pada April 2020 namun terpaksa ditangguhkan kerana China masih menutup pusat konservasinya ketika itu akibat pandemik.
Bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, dalam laporan pada 2 Dis 2020 berkata setiap anak Giant Panda perlu dihantar pulang ke China apabila usia mencecah 24 bulan dan tidak melebihi usia empat tahun.
Anak panda pertama, Nuan Nuan telah dihantar pulang ke China pada 2017.
Perjanjian Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara Kerajaan Malaysia dan China melalui Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) dimeterai untuk tempoh 10 tahun bermula pada 2014, iaitu tahun ketibaan pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang di Malaysia.
Persetujuan China meminjamkan pasangan panda gergasi kepada Malaysia membuktikan hubungan istimewa yang terjalin antara kedua-dua negara sejak hubungan diplomatik diwujudkan pada 1974.
-- BERNAMA
#China #Zoo Negara #kuasa mutlak kerajaan #nama anak panda
;