Kuasa beli menurun, corak perbelanjaan kini berubah - Kajian

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 12, 2022 08:30 MYT
Kajian mendapati, 81.3 peratus responden terpaksa membuat keputusan membeli barang di kedai berbeza pada harga yang lebih murah, berbanding hanya 41.8 peratus sebelum kenaikan harga berlaku. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Peningkatan harga barangan ketika ini telah mengurangkan kuasa beli isi rumah terutama melibatkan golongan B40 serta sebahagian kelompok M40 yang tinggal di tengah kota raya ini.
Ini sekali gus menyebabkan mereka terpaksa mengubah corak perbelanjaan harian seperti membeli keperluan harian pada kuantiti yang kecil serta di kedai yang menawarkan harga yang lebih murah.
Itu antara dapatan yang dinyatakan dalam Laporan Meniti Titian Hidup: Memahami Impak Badai Inflasi yang diterbitkan pada Jumaat.
Kajian itu mendapati, 76.9 peratus responden mengalami peningkatan dalam perbelanjaan bulanan sehingga ada di antara mereka mengalami peningkatan lebih daripada 100 peratus jika dibandingkan dengan perbelanjaan biasa.
Majoriti responden iaitu 33 peratus memaklumkan perbelanjaan mereka bertambah sekurang-kurangnya 20 peratus.
Manakala, 19.8 peratus responden pula memaklumkan perbelanjaan mereka meningkat antara 41 hingga 60 peratus, dengan 15.4 peratus pula akui mengalami peningkatan perbelanjaan antara 21 hingga 40 peratus.
Namun, 23.1 peratus menyifatkan perbelanjaan mereka tidak berubah.
Sehubungan itu, secara majoritinya responden menyifatkan peningkatan harga barang semasa telah mengurangkan kuasa beli isi rumah serta mengubah corak perbelanjaan.
Tindakan membeli barang di kedai berbeza pada harga yang lebih murah terpaksa diambil oleh 81.3 peratus responden yang mengaku berbuat demikian berbanding hanya 41.8 peratus sebelum kenaikan harga berlaku.
Malah, 78 peratus responden telah menukar pembelian mereka di kedai yang lebih murah dan 76.9 peratus kini memilih untuk membeli barang pada kuantiti yang kecil.
Selain itu, mereka kini membuat perancangan sebelum berbelanja (73.6 peratus), membeli barang berkualiti rendah (70.3 peratus), menukar kedai bagi mengelakkan pembelian impulsif (41.8 peratus) dan hanya 7.7 peratus memilih untuk membeli barang berkualiti tinggi.
Kajian dalam kalangan kelompok berpendapatan B40 dan M40 ini adalah hasil kerjasama strategik antara Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia, Astro Awani dan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) dalam membantu menambah baik instrumen dasar menangani kos sara hidup.
Cerapan data menerusi kaedah purposive sampling pada 23 dan 24 Julai lalu melibatkan 120 sampel dijalankan di 27 penempatan di Lembah Klang dengan 18 daripadanya adalah isi rumah yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melaksanakan beberapa inisiatif membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang meningkat seperti Program MYGrocer@Wilayah, MYSchoolBus@Wilayah, MYJob@Wilayah, MYMedic@Wilayah dan MYFood@Wilayah.
Malah, penduduk sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu negara berpeluang menikmati ganjaran berbentuk barangan keperluan asas dengan menghantar barang kitar semula di kios 1Komuniti 1Kitar Semula (1C1R).
Penduduk setempat boleh mendapatkan ganjaran barangan keperluan asas seperti susu pekat, gula, tepung gandum dan minyak masak dengan mengumpul serta menukar mata ganjaran bagi setiap barang kitar semula yang dibawa ke kiosk berkenaan.
Laporan kajian boleh diperoleh di www.eiom.org
#golongan B40 #perbelanjaan isi rumah #kuasa beli menurun #masalah B40
;