Kuasa autonomi imigresen Sarawak kawal penularan COVID-19

Astro Awani
Oktober 21, 2020 19:21 MYT
Langkah tegas yang diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam mengawal kemasukan orang luar ke negeri itu adalah demi kebaikan rakyat. - Gambar Astro AWANI
SIBU : Kuasa autonomi imigresen yang dimiliki Sarawak memainkan peranan penting dalam mengawal penularan pandemik COVID-19.
Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kuasa yang dimiliki oleh negeri itu harus digunakan sebaik mungkin bagi menangani krisis pandemik dalam negara ini.
“JPBN Sarawak sangat tegas. Kita tidak membenarkan pendatang dari luar negara masuk ke Sarawak tanpa menjalani kuarantin.
“Mereka wajib menjalani ujian saringan supaya tidak menjejaskan kesihatan orang awam. Itu sebabnya kuasa autonomi imigresen penting buat Sarawak,” tegas Abang Johari.
Ujarnya, penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri itu ternyata memberi kesan positif kepada usaha mengekang kemasukan warga asing.
Beliau memberitahu, ia adalah merupakan langkah berjaga-jaga yang harus diambil bagi mengelak kenaikan mendadak jangkitan wabak tersebut.
“Sarawak bertanggungjawab memastikan rakyatnya sihat dan terlindung dari kawasan yang terjejas akibat COVID-19. Oleh, itu kuarantin wajib dan tatacara kemasukan ke negeri ini dilanjutkan sehingga 15 November 2020,” tambahnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Gabungan Persatuan Cina (UCA) Bahagian Sibu di Sibu pada Rabu.
Menurut beliau, UCA banyak membantu dalam pembangunan komuniti Cina di Sarawak khususnya di Sibu.
Menerusinya, pembangunan ekonomi yang didominasi oleh komuniti itu dapat terus dipacu dengan pelbagai inisiatif yang dijalankan bersama kerajaan negeri. Sebagai contoh, sektor perniagaan di utara Sarawak.
Beliau turut berharap gabungan persatuan itu terus komited dalam usahanya memperkasakan kaum Cina di mana ia dapat memantapkan lagi pendapatan negeri tersebut.
Setakat ini, Sarawak mencatat 769 kes positif COVID secara keseluruhannya. Manakala, tiada pertambahan kes baharu yang dilaporkan pada Rabu.
#Jabaran Imigresen Sarawak #Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg #kuasa autonomi #JBPN Sarawak #kesihatan orang awam #pembangunan komuniti #sektor ekonomi negeri Sarawak
;