Kuartet COVID-19: Sidang media Hishammuddin jam 5 petang ini
Firdaus Azil
Oktober 12, 2021 15:40 MYT
Oktober 12, 2021 15:40 MYT
Difahamkan, sidang media Hishammuddin petang ini menyentuh SOP pergerakan masyarakat ekoran pembukaan sempadan negeri pada 11 Oktober lalu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijadualkan akan mengadakan sidang media khas pada 5 petang ini, di Pusat Media Parlimen, Bangunan Parlimen, susulan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 yang ketiga.
Media difahamkan, antara yang menyertai mesyuarat kali ini ialah Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Selain Hishammudin, tiga lagi Menteri yang terlibat dalam Kuartet ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Media difahamkan, sidang media Hishammuddin petang ini bakal memperincikan tentang SOP pergerakan masyarakat, ekoran pembukaan sempadan negeri yang berkuatkuasa pada Isnin.
Sidang media ini akan distrim secara langsung di saluran 501 Awani, aplikasi Live TV dan platform media sosial Astro AWANI.