Kuarters pekerja: Bawa berbincang dahulu - Lee Lam Thye
Astro Awani
November 22, 2020 12:52 MYT
November 22, 2020 12:52 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mengadakan perbincangan bersama dengan Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), persatuan kontraktor dan syarikat pemaju bagi mengenal pasti kaedah terbaik bagi mewujudkan kuarters pekerja asing dalam mengelakkan penularan COVID-19 di tapak pembinaan.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sesungguhnya, pelaksanaan untuk mewujudkan kuarters pekerja akan melibatkan kos tinggi terutamanya ketika pendapatan pihak pemaju terjejas berikutan jangkitan COVID-19 dan ia perlu dikupas secara mendalam.
"Meminta pemaju untuk menanggung kos tinggi untuk mewujudkan kuarters pekerja adalah antara perkara yang perlu dibincangkan.
"Kerajaan perlu tengok bagaimana untuk memainkan peranan dalam memudahkan penyelesaian isu ini dan membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh pihak pemaju," katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini, pada Ahad.
Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa memaklumkan kerajaan akan mengkaji langkah mewujudkan kuarters untuk pekerja asing bagi mengelak penularan pandemik COVID-19 di tapak pembinaan.
Beliau berkata bagi tujuan itu, pihaknya sedang berunding dengan beberapa kementerian lain dan CIDB.
Dalam pada itu, Lam Thye turut mencadangkan empat keadah pelaksanaan yang mungkin dapat membantu kerajaan seperti di bawah:
1. Perumahan dibina oleh pemaju atas tanah persendirian dan disewa kepada kontraktor.
2. Perumahan dibina oleh kontraktor untuk pekerja-pekerja mereka di kawasan-kawasan yang ditentukan oleh kerajaan.
3. Perumahan yang dibina oleh kerajaan dan disewa kepada kontraktor.
4. Pemaju menyediakan tanah dan kontraktor membina rumah untuk pekerja mereka.
Namun begitu katanya, ia terpulang kepada pihak-pihak berkepentingan bersama kerajaan untuk menentukan keadah yang terbaik untuk dilaksanakan.
Menyifatkan cadangan itu sebagai langkah baik, Lam Thye berkata, keadaan tempat tinggal pekerja asing yang tidak memuaskan dengan kesesakan, tahap kebersihan dan tiada penjarakan fizikal ini mencetus kebimbangan terhadap penularan COVID-19 di negara ini.
#kuaters perumahan
#COVID-19
#syarikat pemaju
#Kontraktor
#cidb
#pekerja asing
#kesesakan
#penjaran fizikal
#kuaters pekerja
#Ikatan Komuniti Selamat