Kuarters depan Istana Kubang Kerian musnah dalam kebakaran

Vivi Sumanti
September 11, 2018 08:42 MYT
Kuarters pegawai KADA yang musnah dalam kebakaran hari ini. -Astro AWANI/Vivi Sumanti
Sebuah kuarters pegawai Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang terletak berhadapan dengan Istana Negeri Kubang Kerian musnah dalam kebakaran di sini hari ini.
Kejadian malang itu berlaku sekitar jam 10 pagi dan dilaporkan tiada pegawai bertugas mahupun kakitangan di kuarters berkenaan.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Nazili Mahmood, kebakaran itu menyebabkan bangunan yang 100 peratus berstrukturkan kayu hangus sama sekali.
Kata beliau, sejumlah 26 pegawai, anggota dan pasukan bomba sukarela bersama empat unit jentera bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.
"Kita mengambil masa 45 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan lain.
"Kita tidak menolak kemungkinan anggaran awal kerugian melebihi RM100,000," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah Nazili, punca kejadian masih dalam siasatan manakala tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau menjelaskan, operasi pemadaman berjalan lancar walaupun cuaca panas dan berangin.
#Istana Negeri Kubang Kerian #KADA #kebakaran #kuarters #musnah #Nazili Mahmood #pegawai #Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan