Kuari runtuh: "Saya tak nak fikir bukan-bukan, mahu tunggu keputusan sahaja" - Isteri mangsa
Amirrul Rabbani
September 21, 2022 18:56 MYT
September 21, 2022 18:56 MYT
IPOH: Sukar untuk digambarkan perasaan isteri tatkala tiada sebarang khabar berita membabitkan suami, Itam Lasoh, 43, yang terlibat dengan insiden runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands di sini kira-kira enam bulan lalu.
Namun, penantian Wak Uda Bah Kim, 41, bakal berakhir selepas dua jengkaut berjaya ditemukan bersama cebisan pakaian dan tulang dipercayai manusia di lokasi kejadian pada Selasa.
Menurutnya, sukar untuk menjelaskan perasaannya sebaik dimaklumkan pihak polis berkenaan penemuan terbaharu berkaitan insiden pada Mac itu.
“Tidak tahu saya nak cakap macam mana sekarang. Kini, kami tunggu sahaja keputusan itu (proses bedah siasat) untuk tahu kepastian.
“Buat masa ini, saya berdoa banyak-banyak dan tidak mahu fikir yang bukan-bukan. Saya tidak mahu fikirkan benda yang negatif, sebaliknya, mahu tunggu keputusan sahaja,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, pada Rabu.
Selain itu, ibu kepada empat cahaya mata itu berkata sejak kejadian itu menimpa suaminya, dia kerap datang ke tapak kuari berkenaan untuk menjadi yang pertama mengetahui perkembangan operasi pencarian.
Katanya, paling kerap dia ke situ ialah dua kali sehari atau sekali dalam tempoh dua minggu, bergantung kepada situasi semasa.
“Anak-anak juga menunggu dan turut mengetahui perkhabaran terbaharu tentang ayah mereka ini. Namun, kami sekeluarga masih menaruh harapan dan tidak berputus asa," katanya lagi.
Dalam masa sama, Wak Uda berkata, sekiranya penemuan cebisan tulang manusia itu sah milik suaminya, dia akan berasa lega kerana pemergian insan tercintanya itu mempunyai tanda.
"Sekurang-kurangnya (pemergian) dia ada kubur," ujarnya.
Dalam kejadian pada 8 Mac lalu, Itam yang merupakan seorang daripada pekerja kuari dipercayai tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai.
Turut tertimbus dalam runtuhan itu, Kheow Loo Siew Soon, 49.
Semalam media melaporkan, dua bangkai jengkaut ditemukan di lokasi dua mangsa tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari berkenaa.
Turut dijumpai berhampiran bangkai jengkaut ialah cebisan tulang, rambut dan pakaian disyaki milik salah seorang mangsa.