Kuari runtuh: Penyelamat kenal pasti lokasi mangsa dipercayai tertimbus

Abd Razak Mohd Ali
Mac 19, 2022 12:30 MYT
Memasuki hari ke-12, operasi pencarian diteruskan dengan membuat pemantauan keselamatan bagi kerja-kerja pengalihan batu oleh syarikat kuari. - Foto ihsan JBPM
IPOH: Pasukan penyelamat yang menjalankan operasi di kawasan runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands mengenal pasti satu lokasi yang dipercayai dua mangsa tertimbus.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, ia dikenal pasti hasil perbincangan bersama semua agensi yang terlibat di dalam operasi pagi ini.
Katanya, pihak syarikat kuari mencadangkan untuk menggerudi (drill) tempat berkenaan yang berkeluasan sekitar 3 meter X 3 meter dengan kedalaman kira-kira 11 meter.
“Kerja-kerja itu akan dipantau sepenuhnya oleh Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART),” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu, kerja-kerja pembersihan dan membuka laluan hingga ke bahagian belakang runtuhan akan diteruskan.
Katanya, memasuki hari ke-12, operasi pencarian diteruskan dengan membuat pemantauan keselamatan bagi kerja-kerja pengalihan batu oleh syarikat kuari.
Menurut jurucakap itu lagi, hari ini, dua buah jentera jengkaut digunakan untuk penugasan, dengan 62 anggota dari pelbagai agensi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi Selasa minggu lalu, dua pekerja berjaya menyelamatkan diri manakala dua masih hilang, dikhuatiri tertimbus apabila runtuhan kuari terjadi.
Mangsa yang dipercayai masih tertimbus dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49 tahun, dan Itam Lasoh, 43 tahun.
Dua lagi, Mohd Razli Suhaimi, 35 tahun, mengalami patah kaki dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya Pan Bah Tam, 38 tahun, mengalami cedera ringan.
#kuari #runtuhan kuari #mangsa tertimbus #kenal pasti lokasi mangsa
;