Kuari runtuh: Lagi cebisan tulang ditemukan pasukan penyelamat

Amirrul Rabbani
September 21, 2022 14:22 MYT
Pasukan penyelamat menemukan beberapa cebisan tulang dipercayai milik seorang lagi mangsa dalam insiden runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands, Ipoh, pada Rabu. - Gambar Astro AWANI
IPOH: Pasukan penyelamat menemukan beberapa cebisan tulang dipercayai milik seorang lagi mangsa dalam insiden runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands, dekat sini, pada tengah hari Rabu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, cebisan tulang itu ditemukan berhampiran dengan lokasi kedua bangkai jengkaut yang dijumpai semalam.
“Ketika kerja-kerja pencarian di lokasi runtuhan batu itu dilakukan bersama pihak kuari, kita telah menemukan cebisan tulang di lokasi bangkai jengkaut kedua sekitar pukul 12 tengah hari.
“Operasi pencarian hari ini telah dimulakan pada jam 8 pagi dengan kekuatan 10 anggota termasuk seorang pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerja-kerja penggalian bagi melebarkan kawasan carian terpaksa ditangguhkan sementara pada pukul 12.45 tengah hari ekoran hujan lebat, namun, bersambung semula sejam selepas itu selepas hujan mulai reda.
Semalam, media melaporkan, dua bangkai jengkaut dijumpai di lokasi dua mangsa tertimbus dalam insiden runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai di sini sejak Mac lalu.
Turut ditemukan berhampiran bangkai jengkaut adalah rangka tulang, rambut dan pakain disyaki milik salah seorang mangsa.
Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
#kuari runtuh #cebisan tulang #Keramat Pulai #mangsa tertimbus
;