Kuari runtuh: Cebisan tulang dipercayai milik mangsa kedua berjaya dibawa keluar

Amirrul Rabbani
September 21, 2022 18:13 MYT
Cebisan rangka yang dijumpai itu telah dibawa keluar dari lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Foto JBPM
IPOH: Cebisan tulang dipercayai milik mangsa kedua dalam insiden runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini Mac lalu berjaya dibawa keluar dari lokasi oleh pasukan penyelamat pada petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata cebisan tulang itu telah dibawa keluar kira-kira pada jam 2.45 petang.
“Cebisan rangka yang dijumpai itu telah dibawa keluar dari lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Walau bagaimanapun operasi pencarian akan diteruskan juga pada esok bagi mencari kemungkinan terdapat lagi cebisan tulang di lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Selain itu katanya, operasi pencarian terpaksa dihentikan sementara pada jam 3 petang susulan keadaan cuaca hujan lebat dan akan bersambung semula pada jam 8 pagi esok.
Pada tengah hari tadi, pasukan penyelamat berjaya menemukan cebisan tulang dipercayai milik mangsa dalam insiden runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai pada Mac lalu.
Muhamad Shahrizal berkata, cebisan tulang itu telah ditemukan berhampiran dengan lokasi kedua bangkai jengkaut yang dijumpai semalam.
Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi itu mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.
#cebisan tulang #runtuhan kuari #simpang pulai #Cameron Highlands
;