Kuari runtuh: Belum putus henti operasi mencari
Abd Razak Mohd Ali
April 8, 2022 12:33 MYT
April 8, 2022 12:33 MYT
IPOH: Memasuki hari ke 31, pasukan penyelamat belum membuat keputusan berhubung operasi mencari dua mangsa yang dipercayai masih tertimbus dalam kejadian kuari runtuh di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh semua agensi terlibat, namun ia masih belum membuahkan hasil.
“Setakat ini belum membuahkan hasil lagi tapi kita belum membuat sebarang keputusan lagi sama ada hendak menghentikan operasi atau tidak.
“Setakat hari ini kita masih lagi meneruskan operasi untuk mengesan kedua-dua mangsa. Itu jaminan yang saya boleh bagi. Tapi lepas ini kalau kita berjumpa dengan semua agensi berkaitan dan buat keputusan sebaliknya itu belum tahu lagi… sudah masuk hari ke 31 kita masih lagi meneruskan usaha untuk mengesan kedua-dua mangsa,” kata Mior Faridalathrash.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi 8 Mac lalu, dua pekerja berjaya menyelamatkan diri manakala dua lagi masih hilang dan dikhuatiri tertimbus.
Mangsa yang dipercayai masih tertimbus, dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49 dan Itam Lasoh, 43.
Dua lagi mangsa, Mohd Razli Suhaimi, 35 mengalami patah kaki dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan manakala rakannya Pan Bah Tam, 38, mengalami cedera ringan.