Kuarantin individu balik dari Sabah di pusat isolasi, bukan di rumah - Pakar Kesihatan

Afiezy Azaman
September 27, 2020 13:06 MYT
Semua individu yang kembali dari Sabah akan diberi surat HSO, dipakaikan gelang kuarantin dan tarikh pengawasan pula bermula dari tarikh ketibaan sehingga keputusan makmal diperoleh. - Gambar hiasan Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewajibkan kuarantin di pusat isolasi bagi mereka yang kembali dari Sabah dan bukannya di rumah, tegas Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof. Madya Dr Malina Osman
Menurut beliau, membenarkan individu yang balik dari Sabah melakukan kuarantin wajib di rumah hanya akan mengundang masalah.
Ini kerana, tegas Dr Malina, kerajaan perlu mengambil iktibar bahawa kuarantin di rumah gagal dilaksanakan oleh beberapa individu sehingga menyebabkan penularan tempatan berlaku.
“Satu langkah yang saya harap dapat dilaksanakan ialah supaya kuarantin wajib di pusat-pusat isolasi yang ditentukan, bukan kuarantin di rumah sebab kita sudah melihat sebelum ini kuarantin di rumah gagal untuk mengekang penularan wabak pada bulan Jun dan Julai.
“Terdapat individu yang mengambil mudah sehingga melanggar arahan untuk kuarantin wajib di rumah selama 14 hari dan menyebabkan penularan berlaku penularan tempatan.
“Justeru, saya harap perkara ini dapat dilakukan segera dan dipertimbangkan oleh pihak berwajib,” katanya kepada Astro AWANI.
Dr Malina mengulas mengenai arahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyatakan bermula hari ini hingga 10 Oktober, individu yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani saringan COVID-19 dan diarahkan untuk menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, semua individu yang kembali dari Sabah akan diberi surat HSO, dipakaikan gelang kuarantin dan tarikh pengawasan pula bermula dari tarikh ketibaan sehingga keputusan makmal diperoleh.
Sebelum ini Kluster Sivagangga yang mempunyai mutasi D614G tercetus disebabkan seorang individu yang pulang dari luar negara namun melanggar arahan kuarantin wajib di rumah 14 hari.
Kluster itu merekodkan 45 kes sebelum diisytiharkan tamat pada 7 September lepas oleh KKM.
Dalam masa yang sama tular di media sosial beberapa individu yang memakai gelang kuarantin wajib tidak mematuhi arahan tersebut malah ada yang turut memotong dan membuang gelang berkenaan.
Dalam masa yang sama, Dr Malina turut menggesa agar ujian saringan dan arahan kuarantin wajib turut dikenakan kepada mereka yang menaiki pesawat persendirian dari Sabah.
Ini kerana jelasnya, terdapat juga mereka yang pergi dan balik dari Sabah menggunakan pesawat persendirian dan dibimbangi akan terlepas pandang akan SOP yang dikenakan.
#kerajaan #Sabah #kuarantin wajib di rumah #pusat isolasi #Prof Madya Dr Malina Osman #Kementerian Kesihatan Malaysia #HSO #D614G #COVID19
;