Kuarantin di rumah bukan langkah terbaik - Pakar Epidemiologi
Ridauddin Daud
September 29, 2020 17:03 MYT
September 29, 2020 17:03 MYT
KUALA LUMPUR: Perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) bukanlah pilihan terbaik dalam mengawal penularan COVID-19 melibatkan pengembara yang baru pulang dari Sabah.
Pakar Epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, langkah yang paling baik adalah kuarantinkan mereka di pusat kuarantin seperti yang dilakukan sebelum ini.
Menurutnya, Malaysia pernah mempunyai pengalaman virus merebak dengan cepat disebabkan ada individu tidak mematuhi perintah kuarantin di rumah.
“Kalau nak buat HSO supaya lebih berkesan, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan supaya saringan ini lebih efektif, berkesan. Pertama, apabila pesawat itu tiba dari Sabah, penumpang tersebut dibawa terus dari pesawat.
“Mereka tak perlu urusan imigresen, mereka perlu terus dibawa ke pusat yang tertentu di mana saringan boleh dilakukan. Ini boleh kurangkan kesesakan di lapangan terbang dan staf tak perlu proses dalam keadaan sempit dan sebagainya.
“Kedua, ujian itu boleh dilakukan dua calitan, satu RTK Antigen, di mana keputusan boleh didapati dalam masa setengah jam. Kedua, swab itu boleh dihantar untuk tujuan rt-PCR,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, kuarantin di pusat kuarantin adalah langkah terbaik kerana tidak semestinya semua yang diarahkan menjalani HSO dapat mematuhinya dengan baik.
Dalam pada itu, Awang Bulgiba juga mencadangkan pengembara yang pulang dari Sabah sebelum 27 September 2020 juga perlu menjalani saringan COVID-19.
“Sekurang-kurangnya mungkin 10 hari sebelum itu, mungkin pada 17 atau 16 September, setiap orang yang kembali dari Sabah antara 16 Sepember dan 26 September itu sepatutnya menjalani saringan.
“Saringan perlu dilakukan supaya mereka tidak menjadi sumber jangkitan COVID-19 kerana sudah ada kes dilaporkan. Saya kira mungkin lebih dari 10 kes berasal dari Sabah (dalam tempoh itu),” ujarnya.
Kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan angka membimbangkan sejak kebelakangan ini apabila berulang kali merekodkan lebih 100 kes dalam sehari.
Situasi itu menyebabkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan semua pengembara yang baru pulang dari Sabah wajib menjalani HSO dan menjalani saringan ketika tiba di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).
#Sabah
#HSO
#kuarantin
#PMA
#lapangan terbang
#Kuarantin rumah
#KKM
#Astro Awani
#pesawat
#Kementerian Kesihatan
#Imigresen
#rumah
#virus
#Malaysia
#kes positif