Kualiti udara di seluruh negara dijangka terus merosot - Wan Junaidi

Shuhami Zabri
Oktober 20, 2015 17:26 MYT
Keadaan jerebu ini diburukkan lagi dengan meningkatnya bilangan titik panas dikesan di Indonesia, khususnya di Kalimantan. -Gambar hiasan
Kualiti udara di seluruh negara dijangka terus merosot berikutan lebih banyak asap jerebu dari Indonesia meliputi sebahagian besar Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Wan Junaidi berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan meningkatnya bilangan titik panas dikesan di Indonesia, khususnya di Kalimantan.
"Pemantauan oleh Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) mendapati jumlah titik panas di Kalimantan terus meningkat dengan cerapan terbaharu mengesan 377 titik panas, berbanding 176 titik panas sebelum ini.
"Bagaimanapun, hanya tiga titik panas dikesan di Sumatera kerana cerapan tidak dibuat secara menyeluruh susulan diliputi awan," kata Wan Junaidi dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, keadaan itu mempengaruhi status kualiti udara yang tidak sihat di banyak kawasan di negara ini disebabkan tiupan angin dari arah barat daya masih berlaku yang membawa pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera dan Kalimantan.
"Peta ASMC menunjukkan sebahagian asap jerebu tebal dan sederhana dari Sumatera Tengah dan Selatan meliputi sebahagian Semenanjung Malaysia, manakala sebahagian asap jerebu tebal dan sederhana dari Kalimantan Tengah menghala ke barat Sarawak dan timur Sabah," katanya.
Wan Junaidi berkata, keadaan ini berterusan berlaku sejak beberapa hari lalu berikutan ribut tropika Koppu dan ribut tropika Champi masih aktif di Lautan Pasifik sehingga mempengaruhi corak tiupan angin di kawasan serantau negara ini.
"Pada masa sekarang, ribut tropika Koppu berada kira-kira 1,187 km ke arah utara timur laut Kudat, Sabah dan masih lagi berada di bahagian kepulauan Luzon dan dalam keadaan pegun, sebelum ia mula bergerak dengan perlahan ke arah barat barat laut menuju ke Taiwan.
"Ribut tropika Champi pula berada kira-kira 2,942 km ke timur timur laut Kudat, Sabah dan sedang bergerak ke arah utara dengan perlahan," katanya.
Beliau berkata, tiupan angin barat daya dengan kelajuan yang sederhana akan menyebabkan negara mengalami taburan hujan yang berkurangan.
#asap jerebu #ASMC #Indonesia #Kalimantan #kualiti udara #titik panas #Wan Junaidi
;